Alor Setar: "Bunyi dentuman itu sangat kuat dan saya nampak kereta Mercedes Benz itu berpusing beberapa kali sebelum ia berhenti di pembahagi jalan.
"Masa tu saya menjerit Subhanallah... Subhanallah sampai satu kedai dengar saya menjerit tetapi masa itu tak tahu lagi ada yang meninggal dalam kemalangan itu," kata Raja Asmah Raja Jaafar, 42.
Dalam kejadian 8.50 malam itu, dua disahkan maut, manakala dua lagi parah selepas sebuah Mercedes Benz dipercayai bertembung dengan Hyundai.
Menurut Raja Asmah, ketika kejadian, dia mahu membakar lokcing di kedai makan yang terletak di hadapan di lokasi kemalangan itu dan ramai pelanggan di kedai makannya.
Katanya, dia terkejut sebaik terdengar dentuman kuat akibat kemalangan berhampiran pusingan U itu sebelum menyaksikan sendiri kereta itu berpusing beberapa kali sebelum berhenti.
"Saya nampak bahagian bumbung Mercedes Benz itu berada di bawah ketika berpusar sebelum ia berhenti tetapi tak nampak lagi mangsa ketika itu.
"Tidak lama kemudian, saya dapati seorang mangsa berada di atas bumbung kereta, manakala tiga lagi (mangsa) terbaring di atas jalan, yang mana seorang daripadanya cuba bangun sebelum baring semula dalam keadaan berlumuran darah.
"Saya terkejut apabila dimaklumkan dua daripada mangsa terbabit sudah meninggal dunia, manakala dua lagi parah," katanya ketika ditemui di lokasi kemalangan, malam tadi.
Menurut Raja Asmah, sebelum ini, sudah banyak kali kemalangan berlaku berhampiran pusingan U itu tetapi kali ini amat teruk kerana menyebabkan dua maut.