DIBEBASKAN: Mohd Azhier bersama anak guamnya di mahkamah.
KOTA KINABALU: Mahkamah Tinggi di sini telah membatalkan sabitan dan hukuman terhadap Jamil Mokti yang sebelum ini dipenjara atas kesalahan memiliki dadah.
Dalam keputusan yang disampaikan oleh Hakim Datuk Celestina Stuel Galid, mahkamah memerintahkan pembebasan serta-merta Jamil selepas sabitan dan hukuman dua tahun penjara serta empat sebatan diketepikan.
Jamil sebelum ini disabitkan berdasarkan seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 oleh Mahkamah Majistret Papar pada 7 Disember 2023 atas tuduhan memiliki 22.62 gram methamphetamine di kediamannya pada 18 Oktober 2021.
Dalam hujahan bertulisnya, Peguam Jamil, Mohd Azhier Farhan Arisin, berhujah bahawa majistret perbicaraan tidak mengambil kira pembelaan tertuduh dengan sewajarnya, termasuk percanggahan tarikh yang menjadi asas kepada pertuduhan.
Beliau menjelaskan bahawa keseluruhan kes pendakwaan bergantung kepada bukti dan keterangan daripada pasukan serbuan yang dilakukan pada 9 November 2021, sedangkan tarikh yang dinyatakan dalam pertuduhan adalah 18 Oktober 2021.
Hujahnya lagi, percanggahan ini bukan sahaja tidak diendahkan oleh majistret, malah mahkamah gagal menilai sama ada pembelaan tertuduh telah berjaya menimbulkan keraguan munasabah terhadap pertuduhan.
Timbalan Pendakwa Raya Dana Arabi Wazani yang mewakili pihak pendakwaan di dalam prosiding mahkamah tinggi tidak membantah rayuan itu.
Jamil, yang sedang menjalani hukuman penjara di Pusat Reintegrasi Penghuni Keningau sejak 7 Disember 2023, menzahirkan rasa lega dengan keputusan itu.
Keputusan ini mengakhiri lebih setahun ketidakpastian, membolehkan beliau kembali kepada keluarganya dan memulakan hidup baharu.
|