Anggota bomba melakukan operasi menangkap buaya yang dilaporkan terperangkap di belakang sebuah rumah di Kampung Sungai Lingkau, Simunjan. - Gambar JBPM Sarawak
KUCHING: Seekor buaya dianggarkan sepanjang 12 kaki ditangkap selepas dipercayai terperangkap di belakang sebuah rumah di Kampung Sungai Lingkau, Simunjan hari ini.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai penemuan buaya itu pada jam 7.02 pagi bagi membantu menangkap reptilia berkenaan.
Susulan itu katanya, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BPP) Simunjan terus ke lokasi kejadian untuk menjalankan khidmat khas menangkap buaya tersebut.
"Didapati seekor buaya sepanjang 12 kaki telah terperangkap di belakang rumah pemanggil.
Buaya yang dianggarkan 12 kaki panjang berjaya ditangkap selepas terperangkap di belakang sebuah rumah di Kampung Sungai Lingkau, Simunjan. - Gambar JBPM Sarawak
"Pihak bomba terus menjalankan operasi menggunakan PPE yang lengkap dan memulakan operasi menjerut buaya tersebut menggunakan tali dan guni untuk menutup mata bagi memudahkan kerja-kerja mengikat bahagian kepala dan kakinya," katanya menerusi kenyataan hari ini.
Tambahnya, selepas berjaya ditangkap buaya tersebut diserahkan kepada agensi berkaitan untuk tindakan selanjutnya.
|