Dr Rundi pada Majlis Penyerahan Mesin Padi dan Program Pengukuhan Keterjaminan Makanan 2024 di Dewan Masyarakat Kampung Long Tuan, Hulu Trusan, Lawas pada Jumaat.
LAWAS: Kementerian Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah (M-FICORD) mengamalkan pendekatan baharu untuk merevolusikan penanaman padi di wilayah ini.
Menterinya Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom berkata, keperluan infrastruktur yang baik, sistem pengairan dan saliran sempurna serta pelaksanaan penanaman padi berskala besar memastikan keterjaminan makanan dapat dicapai.
Katanya, revolusi penanaman padi di Sarawak mampu dicapai melalui pendekatan cara moden lebih dinamik dan melibatkan penyertaan golongan muda terpelajar.
"Ketika ini, kita hanya menganggap penanaman padi adalah untuk sara hidup tetapi kita perhatikan dengan keterjaminan dan keselamatan adalah sama penting untuk kita dapat melakukan dengan berskala besar.
"Berskala besar hanya dapat dilakukan kalau kita mempunyai infrastruktur yang lengkap.
"Kerajaan Sarawak telah pun mengenal pasti kawasan-kawasan penanaman padi termasuk Limbang dan Lawas dan kawasan dikenal pasti diwartakan hanya untuk penanaman padi," katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Mesin Padi dan Program Pengukuhan Keterjaminan Makanan 2024 dengan kerajaan Sarawak di Dewan Masyatakat Kampung Long Tuan, Hulu Trusan di sini pada Jumaat.
Hadir sama Ahli Parlimen Lawas Datuk Henry Sum Agong.
Dr Rundi menjelaskan, usaha penanaman padi secara komersil dapat dilakukan oleh koperasi di peringkat kampung-kampung yang jauh di pendalaman seperti Long Tuan, Ba’ Kelalan dan sekitarnya.
"Selain itu, penglibatan konsortium dapat membawa kejayaan besar dalam penanaman padi berskala besar.
"Ini disebabkan mereka memiliki kepakaran dan kemudahan alatan moden mampu menghasilkan hasil berganda," jelasnya.
|