Alor Setar: Seorang lelaki berusia 30-an dikhuatiri lemas di Sungai Tajar, Jalan Datuk Kumbar, di sini, hari ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Setar, Ahmad Naufal Abdullah berkata, Pusat Gerakan Operasi (PGO) menerima panggilan melalui talian MERS 999 berhubung kejadian itu pada jam 5.01 petang tadi.
Beliau berkata, sepasukan anggota dari BBP Alor Setar tiba di lokasi tidak lama kemudian untuk melakukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa.
"Tindakan awal adalah dengan melakukan operasi pencarian di permukaan sungai.
"Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah sudah dimaklumkan berhubung kejadian itu.
"Operasi selaman oleh PPDA akan disambung esok namun operasi pencarian di permukaan air masih diteruskan setakat ini," katanya ketika dihubungi hari ini.
Setakat jam 7.45 malam ini, tiada sebarang petunjuk ditemui di lokasi mencari mangsa.