|
Pengguna tak bayar RM1,008,771,447.78 bil elektrik
https://www.kosmo.com.my/2024/11 ... 47-78-bil-elektrik/
Oleh SITI A'ISYAH SUKAIMI
26 November 2024, 5:21 pm

Gambar hiasan
KUALA LUMPUR – Sebanyak 627,491 akaun pengguna Tenaga Nasional Berhad (TNB) telah dipotong dengan jumlah tunggakan sebanyak RM1,008,771,447.78 berdasarkan rekod sehingga September lalu.
Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir berkata, angka tersebut meningkat daripada tahun lalu yang mana sebanyak 464,076 akaun pengguna TNB dipotong dengan jumlah tunggakan sebanyak RM945,435,794.07.
“Daripada statistik tersebut, lima negeri yang merekodkan jumlah akaun dan tunggakan tertinggi bagi tahun 2023 ialah Selangor, Terengganu, Perak, Pahang dan Negeri Sembilan.
“Seterusnya sehingga September 2024 pula adalah daripada Selangor, Kuala Lumpur, Perak, Johor dan Terengganu,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) berhubung jumlah kes pemotongan bekalan elektrik oleh TNB akibat kegagalan membayar bil elektrik dan jumlah tunggakan terlibat mengikut negeri dan kategori pengguna bagi tahun 2023 hingga September 2024.
Akmal Nasrullah berkata, antara sebab kelewatan pembayaran di pihak pengguna seperti kekangan kewangan, sikap tidak bertanggungjawab dan sambil lewa yang mana kebanyakan nama pengguna berdaftar bukan pemilik premis serta sikap bayar TNB terakhir (pay TNB last).
Katanya, kementerian melalui TNB telah mengambil inisiatif menuntut tunggakan bil elektrik daripada pengguna yang dibahagikan kepada
dua kategori pengguna iaitu domestik (kediaman) dan bukan domestik (komersil, perindustrian, pertanian dan lain-lain).
Tambah beliau, secara keseluruhannya, seramai 10.4 juta pengguna TNB melibatkan 8.5 juta pengguna domestik dan 1.9 juta pengguna bukan domestik. – KOSMO! ONLINE
|
|