DETIK BERSEJARAH: Upacara Perdamaian 1924 di Kapit. Rajah Vyner Brooke (duduk, tengah) bersama Temenggung Koh (kiri Vyner Brooke) merakamkan kenangan bersama para pemimpin dari semua masyarakat serta anggota pentadbiran kerajaan. - Gambar Brooke Trust
KUCHING: Hari ini merupakan ulang tahun ke-100 upacara pendamaian yang telah dicapai di Kapit pada 16 November 1924.
Pengerusi Muzium Brooke Jason Brooke dalam satu kenyataan berkata, sebelum dan selepas James Brooke dilantik sebagai pemerintah Sarawak pada 1841, atas desakan dan sokongan orang Melayu Sarawak, konflik dalam kalangan masyarakat peribumi di barat laut Borneo berada pada tahap kritikal.
"Berdasarkan tradisi penyelesaian konflik orang asli, ketiga-tiga Rajah menjalankan upacara perdamaian yang berusaha untuk mendamaikan musuh tradisi antara satu sama lain, dan dengan Kerajaan Sarawak.
"Upacara ini tidak cuba untuk menguraikan rungutan generasi yang kompleks dengan konflik pada masa itu, tetapi berusaha untuk berdamai dengan membantu masyarakat membuat panduan selepas belajar daripada kesilapan masa lalu, melihat ke arah masa depan yang aman dan makmur bersama di bawah kuasa kerajaan," katanya.
Upacara Perdamaian 1924 di Kapit adalah kemuncak usaha oleh begitu banyak pihak berkepentingan termasuk Kerajaan Sarawak untuk mencorakkan masa depan yang lebih baik.
Malah katanya, dapat dilihat identiti itu kini dimiliki oleh rakyat Sarawak, misalnya istilah 'anak Sarawak' yang dirintis oleh Allahyarham Tok Nan.
"Ulang tahun Perdamaian Kapit 1924 ini menggambarkan harapan ramai nenek moyang kita untuk hidup aman dan bersahabat antara satu sama lain.
"Saya berbangga kerana keluarga saya mempunyai peluang untuk memainkan peranan dalam proses ini," tambahnya.
|