Nibong Tebal: "Kak Chik ada hantar gambar selfie (swafoto) berlatar belakang sungai dan nampak keadaan air agak menggerunkan, tetapi kami tidak tergerak nak bercakap untuk menghalangnya, sedangkan selama ini dia antara yang kami kepung (jaga)," kata Ruhaili Mat Saad, 43.
Ruhaili adalah adik kepada Allahyarham Suhaili, 47, yang lemas bersama dua pegawai Jabatan Kerja Raya (JKR) Langkawi ketika melakukan aktiviti water rafting di Sungai Jahang, Gopeng, Perak, semalam.
Menurut Ruhaili, arwah kakaknya yang bertugas di JKR Seberang Perai Tengah (SPT) sangat teruja untuk ke program 'team building' apabila datang meminjam beg pakaian dan tidur awal supaya tidak terlambat.
"Sebelum ke program itu, Kak Chik baru balik dari urusan rasmi di Kuala Lumpur dan beberapa hari kemudian dia datang ke rumah saya nak pinjam beg, tetapi saya tiada lalu anak saya yang bagi beg kepadanya.
"Malam sebelum kejadian, saya ke rumah mak yang masa itu Kak Chik dah tidur. Kami tahu dia akan ke program di Perak, tetapi masa itu ingat di Gua Tempurung, tetapi tidak sangka di Gopeng.
"Ketika Kak Chik hantar gambar selfie, tidak ada siapa komen sehinggalah saya mendapat panggilan telefon kira-kira 6.30 petang (semalam) apabila petugas perubatan meminta saya memanggil nama kakak dan memberikan kata-kata semangat sebelum panggilan itu diputuskan," katanya ketika ditemui, di sini, hari ini.
Menurutnya, dia kemudian mendapat panggilan kedua dan ketika itu mereka memaklumkan kakaknya tidak dapat diselamatkan.
Katanya, arwah kakaknya yang tidak berumah tangga tinggal bersama ibunya di Taman Ilmu, di sini, adalah seorang sangat pendiam dan lemah lembut ketika berbicara.
"Kami lima beradik dan Kak Chik anak nombor dua. Berbanding dengan adik-beradik lain, Kak Chik paling tertib, lemah lembut dan tidak sangka dia akan pergi program (bina semangat) itu tambahan pula dia bukan minat dengan aktiviti lasak.
"Mungkin sebab dia nak melawan ketakutan, jadi dia nak join (sertai program itu). Ikutkan dari dulu memang kami jaga dia, masa zaman dia duduk asrama kami semua hantar dan ambil walaupun dengan bas berbanding kami yang lain-lain pergi sendiri.
"Semasa kejadian, kami dah nampak melalui gambar selfie Kak Chik, tetapi entahlah... kami yang selalu kepung dia tak tercakap sehingga kami mendapat berita pemergiannya," katanya memaklumkan mereka sekeluarga reda dengan pemergian Allahyarham Suhaili.
Terdahulu, jenazah Allahyarham selamat dikebumikan bersebelahan pusara bapanya yang meninggal dunia lebih 30 tahun lalu di Tanah Perkuburan Islam Permatang Pasir, Bandar Baharu, Kedah.
Lebih 100 individu terdiri daripada kakitangan JKR, ahli keluarga dan penduduk kampung hadir pada pengebumian berkenaan.