Georgetown: Tiga lelaki warga tempatan disyaki terbabit kegiatan penyeludupan senjata api dan curi kenderaan mewah, maut ditembak polis dalam kejadian di Jalan Changkat, Pulau Burung, Nibong Tebal, di sini, hari ini.
Kejadian berlaku dalam operasi cegah jenayah pada 5.30 pagi, membabitkan pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang dan Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Seberang Perai Selatan.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad berkata, terdahulu pasukan menemui dua kereta jenis Honda Accord dan Perodua Myvi dalam keadaan mencurigakan.
Katanya, apabila dihampiri suspek tiba-tiba melepas beberapa das tembakan ke arah kenderaan polis, menyebabkan anggota membalas bagi tujuan mempertahankan diri.
"Pemeriksaan kemudian mengesahkan semua suspek mati di tempat kejadian dan menemui sepucuk pistol semi auto; revolver dan kotak Bullet Master mengandungi 50 peluru 9 mm Luger A USA.
"Turut ditemui sekotak 9mm Luger mengandungi 44 peluru 9mm D621101; parang; kuku kambing dan tukul besi," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, hari ini.
Menurutnya, pemeriksaan lanjut juga menemui pemotong, peralatan curi kenderaan, pemutar skru, nombor pendaftaran kenderaan, peralatan elektronik dan dua kereta.
Mengulas lanjut, Hamzah berkata, semakan mendapati Honda Accord dilapor hilang di Seri Kembangan, Selangor pada 2019, manakala Perodua Myvi tiada rekod hilang.
Katanya, kesemua suspek berusia 30 hingga 42 tahun yang mana, suspek pertama mempunyai 35 rekod jenayah lampau dan lapan kesalahan narkotik.
"Suspek kedua pula mempunyai enam rekod lampau dan lelaki ketiga tidak mempunyai sebarang pengenalan diri.
"Kesemuanya adalah rakan sejenayah, tiada pekerjaan tetap dan disyaki aktif menjalankan aktiviti berkenaan sejak awal tahun ini," katanya lagi.
Beliau berkata, kumpulan itu menyasarkan menyamun rumah dan mencuri kenderaan pacuan empat roda untuk diseludup ke negara jiran, bahkan sebelum kejadian, mereka dipercayai dalam perjalanan melakukan jenayah.
Katanya, susulan tumpasnya penjenayah itu, polis berjaya menyelesaikan 33 kes curi kenderaan dan samun yang membabitkan kerugian kira-kira RM4 juta.
"Kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan," katanya.