M KUMAR menunjukkan suspek dalam pembongkaran stor pemprosesan dadah dengan rampasan dadah bernilai lebih RM28 juta di IPK Johor. FOTO Iskandar Ishak
Johor Bahru: Tidak hanya membungkus semula dadah untuk dijual malah sindiket ini turut memproses dadah menjadi `pati' jus sebelum dimasukkan ke dalam paket minuman pelbagai jenama terkenal di pasaran.
Kegiatan sindiket pengedaran dadah yang juga pemborong dadah terbesar di negeri ini terbongkar apabila polis Johor berjaya memberkas tujuh individu dalam tiga serbuan di daerah ini, Iskandar Puteri dan Kluang, awal bulan ini.
Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar berkata, dalam operasi antara jam 8 malam, 3 November hingga jam 11 pagi, 4 November lalu, pihaknya menyerbu dua rumah teres milik keluarga dan sebuah rumah teres yang disewa serta dijadikan stor pemprosesan dadah.
Beliau berkata, tiga lelaki tempatan, dua wanita tempatan dan dua wanita warga asing berusia 27 hingga 62 tahun ditahan termasuk individu yang dipercayai dalang sindiket berkenaan berusia 33 tahun.
"Dalam ketiga-tiga serbuan, polis merampas pelbagai jenis dadah iaitu 158,844.8 gram (g) atau 7,358 paket serbuk disyaki ekstasi; 21,510 biji pil disyaki ekstasi; 11,500 biji pil disyaki erimin 5 dan 6,110 g dadah ketamin dengan nilai keseluruhan dianggarkan lebih RM28.31 juta.
"Dadah yang dirampas dalam operasi ini boleh digunakan oleh seramai 857,784 orang penagih. Ini adalah sindiket dengan rampasan dadah terbesar untuk tahun ini, setakat ini.
"Polis turut merampas peralatan memproses dan pembungkusan semula dadah selain menyita empat kereta, wang tunai RM12,200, pelbagai jenis barang kemas, pelbagai mata wang asing dianggar bernilai RM2,961 yang mana jumlah rampasan dadah dan sitaan mencecah lebih RM28,58 juta," katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini, tadi.
Menurut Kumar, modus operandi sindiket itu adalah dengan menjadikan rumah teres berpagar dan berpengawal sebagai stor penyimpanan dan pembungkusan semula dadah sebelum diedarkan untuk pasaran di Kluang dan Johor Bahru.
Katanya, sindiket yang sudah aktif sejak Ogos lalu itu menjual dadah pada harga antara RM200 hingga RM250 bagi satu paket dadah yang dibungkus.
Beliau berkata, hasil ujian saringan air kencing mendapati tiga daripada suspek positif amphetamine (AMP) dan ketamin (KET), manakala hasil semakan rekod lampau mendapati seorang suspek mempunyai rekod berkaitan dadah dan jenayah.
"Semua suspek kini direman bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, manakala dua suspek warga asing, mereka turut disiasat mengikut Seksyen 15(1)(c)
Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tinggal lebih masa dan tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah," katanya.
Disiarkan pada: November 12, 2024
|