CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 24211|Reply: 0

[Sarawak] Akta 852: 665 premis di seluruh negeri diperiksa di bawah Operasi Mega Bersepadu

[Copy link]
Post time 31-10-2024 10:21 PM | Show all posts |Read mode


Dr Veronica (kanan) menyerahkan edaran infografik berkaitan Akta 852 kepada pemilik premis di sekitar Kuching. - Gambar Facebook Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak

KUCHING: Sebanyak 665 premis di seluruh negeri telah diperiksa di bawah Operasi Mega Bersepadu Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam (Akta 852).

Memetik Facebook Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS) hari ini, menerusi operasi itu juga, sebanyak 782 penguatkuasaan berbentuk pendidikan telah diberikan kepada pemilik atau wakil premis dengan edaran infografik berkaitan Akta 852.

"Sejumlah 37 barang telah disita dari sebuah premis yang diperiksa dengan jumlah nilai sitaan RM172," katanya.

Sementara itu di Bahagian Kuching, Pengarah Kesihatan Negeri Dr Veronica Lugah turut menyertai Walkabout Khas Operasi Penguatkuasaan Akta 852 di sekitar bandar raya Kuching pada Rabu.

Operasi bersepadu itu melibatkan seramai 420 pegawai penguat kuasa daripada pelbagai skim perkhidmatan meliputi kesemua agensi terlibat iaitu Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak, Pejabat Kesihatan (Kuching, Samarahan, Serian, Simunjan, Bau, Lundu), Kementerian Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak (MPHLG) serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

Selain itu, turut terlibat ialah Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU), Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS), Majlis Perbandaran Padawan (MPP) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Operasi itu menyasarkan kawasan larangan merokok dan kedai khas produk merokok yang berada di sekitar Bahagian Kuching.

"Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam (Akta 852) merupakan akta yang menggantikan Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 dan telah dikuatkuasakan pada 1 Oktober 2024.

"Operasi Mega Bersepadu ini adalah siri operasi bersepadu yang merupakan sebahagian daripada inisiatif advokasi berhubung dengan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852)," kata JKNS.

JKNS berharap melalui operasi itu, orang awam khususnya pelanggan yang mengunjungi tempat makan dapat mematuhi larangan merokok di premis tersebut.
Selain itu katanya, adalah menjadi tanggungjawab pemilik premis memastikan tiada orang awam yang merokok di premis mereka.

Turut hadir, Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri Sarawak (Kesihatan Awam) Dr Rohani Mat Bah dan Pegawai Kesihatan Bahagian Kuching Dr Johnny Pangkas.


Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

1-11-2024 10:30 AM GMT+8 , Processed in 0.367122 second(s), 11 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list