Alor Setar: Semua perniagaan yang dikendalikan Global Ikhwan Services and Business (GISB) Holdings di negeri ini masih beroperasi seperti biasa, hari ini.
Perniagaan motel, bakeri dan kafe serta kedai makan dibuka seperti biasa meskipun sebelum ini wujud dakwaan GISB terbabit mengeksploitasikan kanak-kanak sebagai pekerja.
Tinjauan di Bandar Darul Aman di Jitra di sini mendapati, semua perniagaan terbabit menjalankan operasi seperti biasa.
Malah, bilangan pelanggan yang memasuki premis berkenaan juga seperti biasa biar pun laporan berhubung serbuan polis menyelamatkan 402 kanak-kanak dan remaja tersiar di media sejak semalam.
Usaha untuk menemubual pekerja kedai makan berkenaan untuk mendapatkan maklumat lanjut berhubung dakwaan itu gagal kerana mereka enggan mengulas.
Sementara itu, tinjauan di kedai makan milik GISB di Jalan Sultanah di sini mendapati, perniagaan menjual makanan berlauk dan sarapan pagi di situ beroperasi seperti biasa bermula awal pagi hingga 6 petang.
Salah seorang pekerja syarikat itu yang enggan dikenali memaklumkan siasatan yang dijalankan pihak berkuasa tidak menjejaskan perniagaan syarikat, malah operasi premis kekal berjalan seperti biasa.
"Semua pekerja disuruh membuka kedai seperti biasa, malah operasi kedai juga berjalan seperti kelaziman, pelanggan pun ramai hari ini.
"Kami hanya tahu GISB disiasat polis melalui media saja, setakat ini pekerja tidak menerima sebarang arahan lanjut," katanya ketika ditemui.
Media sebelum ini melaporkan, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husainberkata, polis berjaya menyelamatkan 402 kanak-kanak dan remaja berusia antara satu hingga 17 tahun yang dipercayai menjadi mangsa eksploitasi di 20 rumah amal di Selangor dan Negeri Sembilan, semalam.
Serbuan itu dilakukan berdasarkan maklumat serta siasatan yang dilaksanakan, polis mengesyaki bahawa GISBH melakukan kesalahan dalam kegiatan pemerdagangan orang dan kesalahan lain.