Dua bar langgar hak cipta karya diserbu KPDN, RIM
Oleh Zuhainy Zulkiffli - September 12, 2024 @ 8:51am [email protected]
Pengarah Kementerian Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang, S Jegan. - Foto NSTP/Zuhainy Zulkiffli
GEORGETOWN: Dua bar di sini diserbu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang dalam dua operasi berasingan, semalam susulan berulang kali diberi amaran dan advokasi mengenai pelanggaran hak cipta karya.
Serbuan bersama Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) selama tiga jam terhadap premis yang masing-masing terletak di Jalan Sri Bahari dan Jalan Kek Chuan itu dilakukan hasil risikan sejak tiga bulan lalu.
Pengarah KPDN negeri, S Jegan berkata pemilik dua bar itu didapati melanggar hak cipta karya didaftarkan dengan menggunakannya tanpa kebenaran bagi tujuan komersial.
Katanya, premis yang diserbu menyediakan perkhidmatan karaoke, makanan dan minuman beralkohol.
"Hasil siasatan mendapati mesin karaoke di premis berkenaan mengandungi perisian muzik yang disyaki merupakan salinan langgaran hak cipta.
"Sebanyak 14 perisian muzik cetak rompak dirampas yang mana nilainya antara RM2,000 hingga RM20,000 bagi setiap lagu," katanya di sini, semalam.
Mengulas lanjut Jegan berkata, turut dirampas ialah peralatan seperti televisyen, pembesar suara serta mesin karaoke dengan nilai keseluruhan berjumlah RM35,000.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Hak Cipta 1987 dan jika didapati bersalah, pemilik premis boleh didenda tidak kurang daripada RM2,000 dan tidak lebih daripada RM20,000 bagi setiap salinan langgaran atau dipenjarakan sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali.
"Objektif utama operasi itu adalah bagi mendidik pemilik premis tentang kepentingan pematuhan undang-undang hak cipta demi melindungi industri muzik.
"Sehubungan itu, semua pihak yang menggunakan karya hak cipta bagi tujuan perniagaan diingatkan supaya mendapatkan kelulusan daripada pemilik hak cipta untuk mengelak tindakan undang-undang," katanya.
https://www.bharian.com.my/berita/kes/2024/09/1297276/dua-bar-langgar-hak-cipta-karya-diserbu-kpdn-rim
|