Georgetown: Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) memperkenalkan penggunaan kamera badan kepada pegawai penguatkuasanya di lapangan, bagi meningkatkan ketelusan dan keselamatan.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa H'ng Mooi Lye berkata, inisiatif itu adalah sebagai usaha berterusan dalam meningkatkan ketelusan, akauntabiliti dan keselamatan.
Katanya, ia juga adalah sebahagian daripada langkah berterusan bagi mengukuhkan profesionalisme dan membina kepercayaan orang ramai terhadap pegawai ketika tindakan penguatkuasaan dijalankan.
"Kamera badan berfungsi mengekalkan integriti dan ketelusan apabila rakaman itu mampu menjadi bukti yang sah dalam menyokong tindakan pegawai semasa tindakan penguatkuasaan.
"Ia juga dapat membantu melindungi pegawai penguatkuasa dan orang ramai daripada sebarang salah faham atau persepsi negatif yang boleh membawa kepada konflik," katanya di sini.
Mengulas lanjut Mooi Lye berkata, rakaman itu juga boleh digunakan sebagai bukti yang sah bagi sebarang siasatan atau prosiding undang-undang.
Katanya, Jabatan Penguatkuasaan MBPP sudah melaksanakan fasa pertama projek perintis pada Oktober tahun lalu dengan membeli sebanyak 15 unit kamera badan berharga RM 950 seunit bagi kegunaan Warden Trafik.
"Pada Mei lalu, sebanyak 50 unit lagi dibeli serta digunakan anggota Unit Kapit dan Tunda termasuk Pasukan Khas semasa tindakan operasi penguatkuasaan.
"Menjelang 2025, MBPP meluluskan bagi menambah sebanyak 50 unit dan terus meningkat seperti yang dirancang secara berperingkat.
"Inisiatif ini akan diperluas secara berperingkat dan membabitkan semua pegawai penguat kuasa pada masa akan datang semasa mereka menjalankan tugas," katanya lagi.