Pakej 12A LRA Sungai Dua tingkat kapasiti air Pulau Pinang
Oleh BERNAMA - September 8, 2024 @ 3:02pm
Pathmanathan (kiri) ketika menjelaskan mengenai kerja pemasangan paip baharu merentasi Sungai Perai kepada Ketua Menteri, Chow Kon Yeow. - Foto ihsan PBAPP
GEORGETOWN: Pakej 12A di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua yang dijadual dirasmikan Sabtu depan dijangka meningkatkan kapasiti rawatan air Pulau Pinang sebanyak 114 juta liter sehari (JLH) bermula bulan ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), Datuk K Pathmanathan berkata Pakej 12A adalah modul rawatan air baharu di dalam kawasan LRA Sungai Dua yang dibina sebagai tindak balas terhadap peningkatan permintaan air pasca pandemik.
Beliau berkata, LRA Sungai Dua adalah loji rawatan air terbesar dan paling penting di negeri itu dengan membekalkan air terawat kepada kira-kira 465,000 pengguna air setiap hari.
"Oleh itu, manfaat Pakej 12A akan dinikmati 465,000 pengguna air di kawasan perkhidmatan LRA ini. Di tanah besar, kawasan perkhidmatan LRA Sungai Dua merangkumi kebanyakan kawasan di Seberang Perai Utara (SPU), Seberang Perai Tengah (SPT) dan Seberang Perai Selatan (SPS).
"Air terawat dari LRA Sungai Dua juga dipam kepada pengguna di Daerah Barat Daya (DBD) dan beberapa kawasan di Daerah Timur Laut (DTL) di bahagian pulau," katanya dalam kenyataan hari ini.
Pathamanathan berkata pihaknya juga mengepam hingga 33 JLH air dari Sungai Dua ke kawasan perkhidmatan Air Itam di bawah Pelan Tindakan Empangan Air Itam 2024 (AIDAP 2024) pada tahun ini.
Pemasangan paip baharu rentas Sungai Perai bermula Sementara itu, kerja pemasangan paip baharu merentasi Sungai Perai berhampiran Jambatan Ampang Jajar sudah pun dimulakan dan dijadual mula beroperasi pada Januari 2026.
Beliau berkata, apabila siap kelak ia boleh menambah dan meningkatkan jumlah air terawat dari LRA Sungai Dua ke bahagian pulau, sekali gus menangani isu kekurangan air di beberapa kawasan tanah tinggi dan kawasan hujung paip agihan (HPA) di DBD serta DTL.
Pemasangan paip berkenaan akan membekalkan lebih banyak air kepada kira-kira 120,000 pengguna di bahagian pulau termasuk kilang di Zon Perdagangan Bebas Bayan Lepas, selain meningkatkan kestabilan perkhidmatan bekalan di kawasan barat, barat daya dan selatan pulau.
https://www.bharian.com.my/berita/wilayah/2024/09/1295740/pakej-12a-lra-sungai-dua-tingkat-kapasiti-air-pulau-pinang
|