Kepala Batas: "Hampir 50 tahun tinggal di sini (Kampung Pongsu Seribu), inilah kali pertama saya lihat ribut berlaku di rumah sendiri," kata tukang kimpal, Ibrahim Wan Teh, 49.
Menurutnya, dalam kejadian kira-kira 2 petang semalam, dia sedang berehat di rumah bersama tiga ahli keluarganya.
Katanya, mereka tiba-tiba mendengar bunyi 'riuh' di luar rumah dan dalam sekelip mata, keseluruhan bumbung di bahagian dapur sudah diterbangkan angin.
"Ketika itu memang terkejut dan tak sempat nak buat apa-apa kerana kejadian berlaku terlalu pantas.
"Selalu tengok kejadian menimpa orang lain dan ini baru tahu (perasaannya) bila terkena pada diri sendiri... rasa takut semuanya ada.
"Mujur kami sekeluarga selamat dan hanya bumbung sahaja rosak," katanya ketika ditemui di rumahnya hari ini.
Terdahulu, Ibrahim dan keluarganya menerima kunjungan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bertam, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang hadir menyampaikan bantuan.
Sementara itu, Reezal Merican berkata, pihaknya menerima laporan kerosakan bumbung dan kediaman dinaiki air susulan ribut dan hujan lebat semalam.
"Tindakan segera telah diambil sejak semalam dan hari ini saya bersama JKM turun meninjau kesan musibah bagi meneliti bentuk bantuan yang boleh diberi kepada mangsa.
"Di Pongsu Seribu, enam rumah terkesan yang mana JKM telah menyalurkan keperluan segera dan pusat khidmat Dun pula memberikan RM400 bagi setiap satu rumah (terlibat) dan akan tanggung pembaikan balik pulih," katanya.
Menurutnya, pembaikan bumbung membabitkan kos antara RM20,000 hingga RM24,000, yang dijangka siap hari ini atau selewat-lewatnya esok.
Beliau turut menasihati penduduk agar berwaspada dalam keadaan cuaca tidak menentu ketika ini.