19 rumah di Mukim Kupang, Baling dilanda banjir kilat
Oleh Zuliaty Zulkiffli - September 8, 2024 @ 12:02am [email protected]
Anggota APM Baling membantu penduduk yang terjejas dengan banjir kilat ke tempat selamat di Mukim Kupang. - Foto ihsan APM Baling
BALING: Sebanyak 19 rumah membabitkan tiga kampung di Mukim Kupang dalam daerah ini dilanda banjir kilat petang tadi, susulan hujan lebat.
Antara kampung terbabit adalah 10 rumah di Kampung Hangus manakala masing-masing lima di Kampung Bendang Padang dan empat di Kampung Bendang Pecah, Mukim Kupang.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Baling, Leftenan (PA) Mohd Faizol Ab Aziz berkata dua kampung di Mukim Bakai turut terjejas akibat banjir kilat berkenaan iaitu Kampung Jernang dan Kampung Sedim.
Katanya, sehingga lewat malam tadi pihaknya masih belum mendapat jumlah sebenar keluarga yang terjejas di mukim berkenaan.
"APM Baling menerima kes berkaitan banjir kilat ini pada jam 5 petang dan seramai dua pegawai serta lapan anggota terbabit dalam operasi penyelamatan.
"Bagaimanapun setakat ini tiada pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka untuk memindahkan mangsa," katanya ketika dihubungi hari ini.
Mohd Faizol berkata sejak beberapa hari kebelakangan ini, daerah Baling mengalami perubahan cuaca yang tidak menentu dengan peningkatan jumlah hujan berterusan.
Katanya, hujan lebat direkodkan terutama pada waktu petang dan malam, menyebabkan beberapa kawasan rendah terdedah kepada risiko banjir kilat serta tanah runtuh.
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2024/09/1295519/19-rumah-di-mukim-kupang-baling-dilanda-banjir-kilat
|