Sungai Gurun lepasi paras bahaya, penduduk perlu waspada
Zuliaty Zulkiffli[email protected]
Anggota APM Yan melakukan pemantauan di sungai yang melimpah akibat hujan lebat. FOTO IHSAN APM
Yan: Sungai Gurun di Kampung Perupok dilaporkan sudah melepasi paras bahaya susulan hujan lebat yang melanda hari ini.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Yan, Leftenan (PA) Muhammad Zul Izzi Zulkifli berkata, pasukan Angkatan Pertahanan Awam Daerah Yan sedang melakukan pemantauan paras air sungai di Sungai Gurun dan Sungai Singkir di Kampung Singkir Genting.
Beliau berkata, hasil pemantauan mendapati paras air Sungai Gurun sudah melebihi paras bahaya.
"Anggota APM Yan juga turut melakukan pemantauan kawasan yang berisiko banjir.
"Pemantauan dilakukan di kawasan Tandop Kampung Raga serta Taman Samudera di sini dan mendapati arus deras dan beberapa kawasan jalan dinaiki air," katanya ketika dihubungi hari ini.
Muhammad Zul Izzi menasihatkan penduduk di kawasan berisiko rendah supaya sentiasa berwaspada dengan keadaan semasa memandangkan hujan yang tidak menentu ketika ini.
Disiarkan pada: September 7, 2024 @ 4:38pm
https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2024/09/1131478/sungai-gurun-lepasi-paras-bahaya-penduduk-perlu-waspada
|