'Air pasang besar, Monsun Barat Daya punca laut berlumpur'
Oleh Zuhainy Zulkiffli - September 6, 2024 @ 5:48pm [email protected]
Keadaan lumpur yang dalam menimbulkan masalah kepada nelayan.
GEORGETOWN: Fenomena semula jadi seperti air pasang besar dan Monsun Barat Daya menyebabkan gangguan pada kawasan dasar laut yang berlumpur di pantai Sungai Batu, Teluk Kumbar, di sini.
Ketua Pegawai Eksekutif Penang Infrastructure Corporation Sdn Bhd (PIC), Datuk Seri Farizan Darus, berkata ia hasil keputusan daripada sesi libat urus yang diadakan pegawai informasi Pusat Perkhidmatan Setempat Nelayan (PPSN) bersama beberapa nelayan dari kawasan berkenaan.
Katanya, PIC bersama pemaju projek Silicon Island Development Sdn Bhd (SIDSB) dijemput Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) bagi sesi libat urus bersama Persatuan Nelayan Kawasan Pulau Pinang Selatan (PNKPPS), pada 8 Ogos lalu.
"Pada mesyuarat itu isu selut dibangkitkan nelayan dan penjelasan diberi PIC bersama SIDSB mengenainya.
"Siasatan SIDSB bersama Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pulau Pinang mendapati tiada penemuan yang mencurigakan daripada pelaksanaan projek Pulau Silikon," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Nelayan Unit Sungai Batu, Teluk Kumbar, Bayan Lepas hari ini mendakwa kawasan pantai itu dipenuhi selut sedalam satu meter yang dipercayai berpunca daripada projek Pulau Silikon. Keadaan bertambah buruk pada Ogos lalu, menyebabkan nelayan tidak dapat turun ke laut serta hilang pendapatan.
Mengulas lanjut, Farizan berkata, keadaan semula jadi kawasan pesisiran pantai Pulau Pinang Selatan adalah dataran lumpur dan ia turut disahkan ketika penyediaan laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA), malah pemantauan garis pantai dijalankan secara berkala sejak Jun 2023.
Katanya, pemantauan seterusnya dilakukan pada Disember 2023 selepas kerja tebus guna tanah dimulakan dan diteruskan setiap tiga bulan termasuk pada Mac dan Jun lalu.
"Laporan ini dikemukakan kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta analisis mendapati tiada perubahan ketara pada dasar laut selepas perbandingan dibuat antara tinjauan awal dan pemantauan seterusnya.
"Kajian penyiasatan tanah di pesisir laut yang dijalankan pada 2014 hingga 2016 juga menunjukkan keputusan konsisten, iaitu terdapat lapisan tanah liat lembut yang tebal di dasar laut," katanya.
Farizan berkata, pemantauan kualiti air juga dijalankan secara berkala oleh pihak kontraktor khususnya bagi parameter Jumlah Pepejal Terampai (TSS) dan Kekeruhan (NTU) dalam memastikan keberkesanan tirai kelodak yang dipasang.
Katanya, laporan pemantauan yang dikemukakan kepada JAS menunjukkan kualiti air di kawasan persekitaran projek mematuhi had ditetapkan jabatan itu.
"Laporan pemeriksaan Amalan Pengurusan Terbaik (BMPs) turut dijalankan setiap hari oleh kontraktor bagi memastikan tirai kelodak dipasang dan berfungsi dengan baik, manakala kerja penyelenggaraan BMPs dilakukan secara mingguan.
"Semua kapal pengangkut pasir dilengkapi Sistem Pengurusan Pengorekan dan Pelupusan (DDMS) bagi memastikan tiada pelepasan bahan angkut atau pengambilan pasir dari kawasan yang tidak dibenarkan.
"Malah ia juga boleh dipantau secara dalam talian 24 jam oleh agensi berkaitan termasuk Jabatan Laut Malaysia," katanya.
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2024/09/1295003/air-pasang-besar-monsun-barat-daya-punca-laut-berlumpur
|