Johor Bahru: Tindakan lelaki tempatan aktif dalam aktiviti pengedaran dadah sejak Jun lalu terbongkar apabila berjaya dihidu polis sebelum ditangkap pada 7 Ogos lalu.
Suspek berusia 44 tahun itu ditahan dalam sebuah kereta yang diparkir di sebuah kondominium di Larkin sebelum membawa polis ke rumah kedai di Taman Pelangi di sini, yang dijadikan tempat pembungkusan dan penyimpanan dadah.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, dalam dua serbuan antara 2 petang hingga 4.30 petang itu berjaya merampas lebih 13 kilogram dadah bernilai lebih RM2.2 juta.
"Modus operandi lelaki ini adalah menjadikan sebuah rumah kedai sebagai tempat pembungkusan dan penyimpanan dadah sebelum diedarkan ke pasaran tempatan.
"Suspek yang juga penganggur dipercayai menjual pelbagai dadah ini mengikut kepada permintaan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan, di sini, hari ini.
Menurutnya, dadah yang dirampas adalah 12,665 gram disyaki serbuk ekstasi, 123 gram disyaki ketamin, 621.8 gram disyaki pil ekstasi dan 3.9 gram pil erimin 5 yang bernilai RM2,214,440.
Selain itu, katanya, polis turut merampas dua alat pengisar dan sebuah kereta selain menyita dua keping kad berwarna kuning keemasan, pelbagai barang kemas dan wang tunai RM700.
"Saringan ujian air kencing mendapati suspek negatif dadah dan semakan juga mendapati suspek tiada rekod jenayah atau dadah.
"Suspek direman tujuh hari dan hari ini tempoh reman disambung lagi tujuh hari bagi siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.
Katanya, pihaknya sedang mengesan seorang individu dipercayai menjadi pembekal dadah kepada suspek.
|