Pasir Gudang : Tiga individu termasuk seorang wanita ditahan bersama sejumlah dadah dan senjata, dalam satu serbuan di sebuah rumah di sini, kelmarin.
Ketua Polis daerah Seri Alam, Superintendan Mohd Sohaimi Ishak berkata, serbuan jam 2.30 petang yang dilakukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Seri Alam.
Katanya rumah terbabit disyaki dijadikan tempat pengedaran dadah oleh suspek yang berusia antara 27 hingga 38 tahun.
"Antara barang yang dirampas sepucuk senjata menyerupai pistol berserta sembilan biji peluru bebola besi, plastik lutsinar berisi bebola besi (894 gram), tiga silinder gas angin, sebilah kerambit dan selaras senapang pelancar getah.
"Turut dirampas 122 biji dadah disyaki pil yaba, tiga biji pil ekstasi (1.42 gram), serbuk dadah disyaki jenis heroin (24.30 gram) dan tiga plastik lut sinar berisi serbuk kristal dadah disyaki syabu masing-masing (6.09 gram), (2.74 gram) dan (3.92 gram).
"Polis turut merampas sembilan keratan kerajang foil aluminium warna merah berisi 80 biji pil disyaki dadah jenis pil eramin 5 (21.93 gram) dan sepeket plastik lutsinar mengandungi keratan kerajang foil fluminium berisi tiga biji pil erimin 5, yang keseluruhannya bernilai RM6,531," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut Mohd Sohaimi, hasil semakan rekod lampau mendapati kesemua suspek mempunyai rekod jenayah lampau.
"Suspek pertama dan kedua masing-masing mempunyai lima rekod jenayah dan dadah lampau manakala suspek ketiga mempunyai tujuh rekod jenayah dan dadah.
"Kesemua suspek direman tujuh hari bermula semalam hingga 19 Ogos ini. Kes disiasat di bawah seksyen 8 (a) Akta Senjata 1960, seksyen 7 (1) Akta Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 dan Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.
|