KOTA BHARU: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) bersetuju untuk melakukan pembenihan awan di Kelantan bermula 21 Jun ini susulan pesawah berdepan kerugian besar akibat kemarau berpanjangan.
Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA), Muhammad Husain, berkata pembenihan awan akan dibuat sebanyak tiga kali bermula 21 hingga 23 Jun.
Katanya, memandangkan tumpuan sekarang untuk memperbanyakkan air sungai bagi membolehkan pam berfungsi, pembenihan awan itu dijangka dilakukan di Hulu Kelantan.
"Setakat ini saya baru dimaklumkan oleh pihak kementerian berhubung pembenihan awan yang akan dilakukan di Kelantan.
"Sekarang di Kelantan padi sudah dituai dan fokus kita adalah mahu memperbanyakkan air sungai supaya pam KADA dapat beroperasi.
"Justeru, kita jangkakan lokasi pembenihan awan itu dijangka dibuat di Hulu Kelantan. Sebarang maklumat terperinci saya akan maklumkan nanti," katanya ketika dihubungi.
Terdahulu, media melaporkan, seramai 3,587 pesawah di Kelantan mengalami kerugian sebanyak RM58 juta akibat musim kemarau sejak Mac lalu.
Kerugian itu membabitkan keluasan hampir 8,900 hektar sawah di enam jajahan KADA.