CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 1783|Reply: 0

[Sabah] Bandung, bandar menakjubkan di Indonesia yang patut dikunjungi

[Copy link]
Post time 11-6-2024 09:46 PM | Show all posts |Read mode


MEMUKAU: Persembahan kebudayaan dan angklung dari kanak-kanak di Saung Angklung Udjo.



BERKUALITI: Bodypack menyediakan produk keluaran tempatan kepada pelanggan.

Keluar sahaja dari kereta api, udara nyaman dan dingin mula dirasai sebaik menjejakkan kaki di Kota Bandung iaitu bandar terbesar di Jawa Barat yang terletak 140 kilometer sebelah Tenggara Jakarta dan kota terbesar di wilayah Pulau Jawa bagian Barat.

Bandung bukan sahaja dikenali sebagai dunia untuk membeli belah tetapi keindahan alam semula jadinya yang menjadikan Bandung tersenarai sebagai salah satu senarai lokasi yang terpilih sebagai tempat pelancongan wajib untuk dikunjungi tahun ini.

Bukan hanya itu, Bandung yang juga terkenal dengan gelaran Parijs van Java atau ‘Paris di Jawa’ dalam bahasa Belanda mempunyai tarikan sejarah dengan sebahagian besar bangunan di sini didirikan dengan seni bina Belanda.

Antara yang terkenal di Bandung ialah bangunan Gedung Sate yang didirikan dengan perhiasan secucuk sate dengan enam isi sate di menaranya melambangkan jumlah kos bagi membangunkan bangunan ini yang dibina pada tahun 1920 dan masih digunakan sehingga kini sebagai pusat pemerintahan Kota Bandung iaitu sama seperti Rumah Putih di Washington DC Amerika Syarikat (AS).

Keindahan seni bina bangunan Gedung Sate yang penuh bersejarah ini dengan keindahan taman di sekeliling bangunan ini dijadikan sebagai tempat untuk merakamkan gambar kenangan oleh pengunjung seterusnya menghapuskan tanggapan Gedung Sate sebagai kedai yang menjual sate sebaik mendengar nama ini pada permulaannya.

Tidak jauh dari sini, lokasi tumpuan pelancong adalah di Braga iaitu ikon utama Bandar Bandung yang memperlihatkan pelbagai jenis restoran serta kafe hipster, bar dan kedai lainnya dibuka di bangunan lama yang masih cantik.

Di sepanjang Jalan Braga, pengunjung juga boleh mendapatkan pelbagai jenis lukisan yang dijual di tepi jalan dengan seni tersendiri yang memperlihatkan keindahan yang ada di Bandung.

Terdapat juga sebuah kedai menjual roti, biskut dan kek, iaitu Toko Roti Sumber Hidangan yang sudah beroperasi sejak 1929 dan masih menggunakan peralatan serta bahan utama yang dipakai pada zaman terbabit untuk operasi harian bersesuaian dengan sisa peninggalan pada penjajahan Zaman Belanda.

Jika berjalan di Jalan Braga ini, pengunjung akan melihat papan tanda Wilujeng Sumping yang bermaksud selamat datang dalam
Bahasa Sunda. Apa yang unik di jalan ini terdapat jalan kecil yang disebut gang di bangunan ini yang menyerupai lorong.

Salah satunya ialah Gang Apandi yang dahulunya dibuat untuk laluan ke kawasan perkampungan pada zaman Belanda, kini lorong yang menyambungkan ke kawasan sekitar Jalan Braga seperti Gang Cikapundung menjual pelbagai makanan yang lazat dan menjadi salah satu tarikan pengunjung di Jalan Braga.

Satu lagi tempat yang perlu dikunjungi jika berkunjung ke Bandung ialah Saung Angklung Udjo yang memberikan pengalaman unik dalam budaya dan seni persembahan, semuanya dalam satu pakej bagi mendalami alat muzik angklung yang diakui salah satu alat muzik asli Indonesia oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

Seperti namanya, tumpuan utama di sini adalah pada sejarah dan seni muzik angklung, pengunjung bukan sahaja boleh menonton persembahan, malah berpeluang untuk belajar bagaimana angklung dibuat bahkan ada kelas khusus untuk mereka yang berminat mendalaminya.

Jika tempoh kunjungan di sini adalah singkat, pengunjung juga boleh mempelajari angklung selepas persembahan kebudayaan kumpulan angklung dan memberikan satu pengalaman manis yang tidak dapat dilupakan di Bandung, selepas itu pengunjung boleh membeli angklung di kedai cenderamata sebagai kenang-kenangan sepanjang berada di sini.

Tidak ketinggalan, sebuah kedai yang melestarikan budaya Indonesia melalui penghasilan kain batik bermutu tinggi iaiti Dama Kara.

DamaKara mengangkat kain tradisional yang diproses dengan cara batik dan menghasilkan kain batik yang ringkas tetapi penuh dengan makna tentang kekayaan unsur batik itu sendiri.

Salah satu motif yang dibawakan di sini ialah motif Gayatri yang mempunyai dua baris, bermakna dualisme dari manusia. Setiao individu memiliki kelebihan dan kekurangan, dan kedua-dua konsep ini saling berhubungan.

Lebih menarik, DamaKara yang terletak di Jalan Cihapit ini mengangkat nilai kemanusiaan yang bukan hanya bekerjasama dengan pembuat batik tempatan malah turut membawa kanak-kanak istimewa menghasilkan batik dan mereka akan memperoleh royalti melalui kain yang dihasilkan apabila berjaya dijual.

Untuk penggemar fesyen terkini, tempat yang perlu dikunjungi di Bandung ialah Bodypack yang menghasilkan produk lokal tetapi bertaraf antarabangsa.

Bodyoack bukan hanya mengutamakan keterampilan semata-mata tetapi juga mengutamakan kualiti terhadap semua produk yang dikeluarkan terutamanya beg, seluar dan baju lebih-lebih lagi kepada yang selalu berhadapan aktiviti lasak di luar.

Terbukti produk yang dikeluarkan di Bodypack ini sangat berkualiti dan menjadi kebanggaan Indonesia kerana mampu menghasilkan produk keluaran tempatan yang bermutu tinggi.


Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

26-6-2024 10:05 AM GMT+8 , Processed in 0.079596 second(s), 27 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list