CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 6474|Reply: 0

[Sarawak] Ketengahkan budaya Bisaya dalam pakej ekopelancongan

[Copy link]
Post time 9-6-2024 07:40 PM | Show all posts |Read mode


(Dari tiga kiri) Hasbi, Paulus, Anthonio serta yang lain ketika Majlis Nakod Babulang sempena Pesta Babulang Dan Lumba Kerbau 2024 di Batu Danau pada Sabtu.
LIMBANG: Pasukan Bertindak Pelancongan Bahagian Limbang bekerjasama dengan Persatuan Bisaya Sarawak (PBS) bagi menyediakan Pelan Pengurusan dan Pelan Tindakan Ekopelancongan di Kawasan Batu Danau untuk menyokong Pelan Ekopelancongan Bahagian Limbang secara keseluruhannya.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, melalui pelan tersebut destinasi yang boleh dijadikan sebagai produk pelancongan di kawasan itu akan dikenal pasti, dipromosi dan menjadi tarikan utama di Sarawak.  

"Saya juga ingin mencadangkan supaya pakej ekopelancongan yang mengetengahkan budaya masyarakat Bisaya ini digabungkan dengan pakej pengembaraan ke Head Hunters’ Trail di Taman Negara Gunung Mulu.

"Ini disebabkan pakej Head Hunter’s Trail juga mempromosi unsur budaya sebagai sebahagian daripada pengalaman dalam perjalanan berkenaan.

"Justeru, dengan mengabungkan pakej berkenaan, agak mudah bagi agensi-agensi pelancongan untuk mempromosi produk ekopelancongan masyarakat Bisaya di kawasan Batu Danau ini," katanya pada perasmian Majlis Nakod Babulang sempena Pesta Babulang Dan Lumba Kerbau 2024 di Batu Danau pada Sabtu.


Acara lumba kerbau besar yang diadakan pada Pesta Babulang dan Lumba Kerbau.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Hasbi Habibollah.

Turut hadir ialah isteri Hasbi Datin Elsie Marlisa Abdullah, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Danau Dato Paulus Palu Gumbang, Ahli Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri Sarawak Datu Anthonio Kathi Galis dan Presiden PBS Joseph Blandoi.

Abdul Karim optimis melalui langkah strategik itu, adat budaya masyarakat Bisaya akan dapat diketengahkan sebagai produk pelancongan bagi merancakkan industri pelancongan di Bahagian Limbang, sekali gus menyumbang kepada peningkatan sosioekonomi dan taraf hidup penduduk setempat.

Katanya lagi, penganjuran Pesta Babulang dan Lumba Kerbau 2024 amat bertepatan dengan salah satu pemangkin aktiviti iaitu mengadakan pelbagai acara, perayaan dan acara perniagaan yang unik untuk Sarawak.   

"Bagi mencapai sasaran berkenaan, sokongan padu, kerjasama serta komitmen yang tinggi dituntut daripada pihak berkepentingan.

"Kementerian akan terus menyokong penganjuran Pesta Babulang dan Lumba Kerbau pada masa hadapan.

"Kami komited untuk memastikan acara ini terus berkembang dan memberi manfaat kepada komuniti serta menarik lebih ramai pelancong tempatan dan asing ke Sarawak," ujarnya.

Tambahnya, ini disebabkan Pesta Babulang dan Lumba Kerbau merupakan acara yang penting dan produk pelancongan yang mempunyai keunikan tersendiri.




Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

26-6-2024 09:59 AM GMT+8 , Processed in 0.049756 second(s), 27 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list