View: 6032|Reply: 0
|
[Kelantan]
Untung kecil punca beras SST tak dijual di kedai runcit
[Copy link]
|
|
Azman Mahmood (tengah) ketika bertemu mata dengan para petani sempena Majlis Dialog dan Perasmian Penuaian Tanaman Padi Projek Smart Sawah Berskala Besar (SBB) KPA Gong Chengal, Gong Geduk dan Gong Pasir di sawah padi Kampung Pasir, Gaal, Pasir Puteh. FOTO Nor Amalina Alias
Pasir Puteh: Beras super special tempatan (SST) hanya boleh dibeli di pasar raya besar edaran Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).
Itu penjelasan Ketua Pengarah Pengawalan Padi dan Beras, Datuk Azman Mahmood ketika diminta mengulas 'kehilangan' beras SST di pasaran sejak awal tahun ini.
Azman berkata, pihaknya masih memenuhi pasaran bagi beras putih tempatan yang dijual pada harga RM25 bagi 10 kilogram.
"Kebanyakan rakyat pergi tengok di kedai runcit sedangkan kebanyakan kedai tidak terima beras tempatan. Ini kerana keuntungan mereka ( menjual beras SST) hanyalah sekitar 50 sen. Jadi mereka tidak akan ambil (SST).
"Kita letak beras SST ini di pasar raya terpilih, diedar LPP dan FAMA. Ini tiga pendekatan kita buat bagi memenuhi permintaan pasaran," katanya ketika ditemui pada Majlis Dialog dan Perasmian Penuaian Tanaman Padi Projek Smart Sawah Berskala Besar (SBB), KPA Gong Chengal, Gong Geduk dan Gong Pasir di Gaal, di sini, tadi.
Azman yang juga Setiausaha Bahagian Pembangunan Industri Padi, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) berkata, faktor ketiadaan beras putih tempatan turut berpunca tindakan peniaga yang membelinya dalam kuantiti besar.
"Masalah ini bersifat sementara, kita cuba cadangkan struktur baru dalam industri padi dan beras supaya ia dikaji semula di semua peringkat termasuk harga kepada petani, harga kilang dan harga pengguna.
"Kalau anda tengok, air mineral pun sudah (dijual) seringgit lebih, ini RM26 untuk 10 kilogram beras, maknanya kita kena kaji balik, kita kena jaga kebajikan petani. Kaji semula kaedah pengapungan harga beras ini dan cadangan kita adalah dengan beri subsidi bersasar kepada golongan B40," katanya.
Azman berkata, pihaknya turut membentangkan harga lantai padi dinaikkan antara RM1,600 hingga RM1,800 ketika mesyuarat Majlis Tindakan Kos Sara Hidup Negara (NACCOL) bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Secara prinsipnya, PM sudah bersetuju, namun masih memerlukan sesi libat umum petani, pemain industri dan kementerian-kementerian terbabit," katanya.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... ual-di-kedai-runcit |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|