KANGAR: Kerajaan Perlis sedang mempertimbangkan untuk mewujudkan Unit Integriti di pejabat Menteri Besar bagi memastikan urus tadbir negeri yang cekap dan bersih.
Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli berkata, perkembangan yang berlaku dalam pentadbiran kerajaan negeri itu beberapa minggu ini membuatkannya mahu mewujudkan unit itu.
"Insya-Allah, kita melihat kelemahan yang ada itu kita perbaiki dengan sebaiknya, dan jika tiada halangan kita akan wujudkan Unit Integriti dalam pejabat Menteri Besar dengan meletakkan Pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
"Kita dapat maklumat daripada rakan lain bahawa ada beberapa negeri yang meletakkan Unit Integriti ini dalam pejabat Menteri Besar.
"Insya-Allah saya akan bincang dengan ahli EXCO Negeri dan juga Penasihat Undang-Undang untuk lihat kesesuaian untuk diletakkan seorang Pegawai SPRM sebagai Unit Integriti," katanya.
Beliau ditemui selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco Kerajaan Negeri di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis di Persiaran Wawasan, di sini hari ini.
Beliau difahamkan segala gaji pegawai SPRM di Unit Integriti akan ditanggung oleh kerajaan negeri.
"Sekiranya, ia dapat diwujudkan maka kita akan dapat memastikan urus tadbir itu berlaku dengan bersih jadi kita akan lihat pro dan kontra terhadap cadangan ini," katanya.