Kangar: Menteri Besar Mohd Shukri Ramli fokus untuk terus mentadbir urus kerajaan negeri Perlis meskipun terdapat desakan yang mahu beliau meletak jawatan.
Ia susulan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) terhadapnya baru-baru ini atas dakwaan salah guna kuasa.
Pengerusi Perikatan Nasional (PN) negeri itu berkata, desakan untuknya berundur hanya timbul di media sosial sahaja dan bukan kemahuan parti atau pentadbiran negeri.
"Itu hak semua orang sebab negara ini diberikan kebebasan untuk bercakap, jadi bagi ruang kepada mereka, tetapi saya masih lagi Menteri Besar Perlis.
"Fokus saya adalah untuk terus uruskan negeri, Insya-Allah," katanya yang ditemui selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco Kerajaan Negeri di sini, hari ini.
Mengenai penahanannya Selasa lalu, Mohd Shukri berkata, SPRM mengambil keterangan beliau selama lapan jam dan beliau tidak diberkas.
"Bukan ditahan terus... peguam ikut saya.
Penahanan itu hanyalah untuk membantu siasatan sahaja.
"Saya sebenarnya menerima penyiasatan oleh SPRM ini dengan hati yang terbuka. Mungkin ini memberi ruang untuk saya lebih berdisiplin lagi (dalam) memastikan pembersihan dalam pentadbiran saya selaku ketua kerajaan negeri.
"Malah, sekiranya ada keperluan mungkin saya akan dipanggil dan saya bersedia untuk itu," katanya.