Ahli-ahli PERANTAU dan ketua masyarakat setempat merakam gambar bersama (duduk dari empat kanan) Rizal, Iskandar dan Adi.
TATAU: Persatuan Anak Tatau (PERANTAU) berpotensi menjadi hab pemangkin aktiviti ekonomi kepada komuniti Tatau sekiranya mengambil peluang dan ruang untuk terlibat dalam industri agro dan perikanan di kawasan daerah Tatau.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak Iskandar Turkee berkata, untuk itu koperasi adalah satu platform yang banyak digunakan oleh pertubuhan dan persatuan bagi tujuan berkenaan.
"Penglibatan dalam industri itu melalui penyertaan dalam koperasi akan menambah pendapatan persatuan dan ahli-ahlinya serta meningkatkan taraf sosioekonomi komuniti Tatau," ujarnya ketika merasmikan Majlis Apresiasi Persatuan Anak Tatau 2024 di Tatau semalam.
Justeru beliau amat berharap komuniti di Tatau merebut peluang itu dan terus memajukan diri melalui penyertaan aktif dalam industri berkenaan.
Pada majlis itu Iskandar menyampaikan sijil penghargaan kepada beberapa exco PERANTAU yang telah menyumbang bakti kepada persatuan itu pada penggal lepas.
Terdahulu PERANTAU telah mengadakan mesyuarat agung tritahunan (TGM) bagi sesi 2024-2027 yang dihadiri Penaung PERANTAU Datu Dr Adi Badiozaman Tuah.
Pada TGM tersebut, ahli-ahlinya sebulat suara mengekalkan Mohammad Rizal Julaihi sebagai pengerusi PERANTAU untuk penggal kelima bagi sesi 2024-2027.
PERANTAU ditubuhkan sejak tahun 2015.
Hadir pada majlis itu, Long Jok yang mewakili Pejabat Daerah Tatau, Penghulu Kuala Tatau Haliza Mudin serta ketua-ketua masyarakat dan kaum di kawasan Kuala Tatau dan Serupai.
|