KUALA KRAI: Cempaka Merah Asnaf Society mengagihkan 1,300 bungkusan juadah berbuka puasa berisi kuih dan air mineral botol kepada pengguna jalan raya di laluan Gua Musang-Kuala Krai, petang semalam.
Pengerusi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu, Che Norhayati Mohamed, berkata inisiatif itu dilakukan sebagai menyambut kepulangan perantau ke negeri ini.
Beliau berkata, ini adalah tahun ketiga pihaknya mengagihkan pek makanan kepada perantau, hasil sumbangan orang ramai.
"Memahami keadaan anak perantau yang terperangkap dalam kesesakan jalan raya, kami mengagihkan pek makanan untuk mereka berbuka puasa dan mengalas perut.
"Jelas terpancar riak lega serta gembira pada wajah mereka apabila menerima agihan itu sebagai tanda kesyukuran pada Ramadan," katanya.