|
PELUMBA Aprilia, Maverick Vinales meraikan kemenangan pertama musim ini. -AFP
PORTIMAO, Portugal – Pelumba pasukan Aprilia Racing, Maverick Vinales mencipta sensasi apabila melakar kejutan menjuarai perlumbaan sprint di Grand Prix (GP) Portugal sebentar tadi.
Pada perlumbaan tersebut, Vinales yang memulakan perlumbaan di petak kedua ditentang hebat pelumba Ducati, Francesco Bagnaia dan juga Marc Marquez dari Gresini Ducati pada awal saingan.
Bagaimanapun, kesilapan Bagnaia yang hampir terjatuh pada baki empat pusingan terakhir membuka ruang kepada Vinales untuk memimpin perlumbaan sebelum menamatkan kemenangan sprint pertamanya.
VINALES tampil cemerlang apabila menawan perlumbaan sprint di Grand Prix (GP) Portugal. -AFP
“Saya gembira dengan kemenangan ini dan gembira dapat kembali di kedudukan teratas. Kami menunjukkan bahawa kami sedang mencari jalan menjadi pasukan terbaik.
“Sudah pasti, fokus adalah perlumbaan sebenar esok dan tetapi sangat gembira untuk hari ini. Ini adalah kemenangan pertama saya untuk Aprilia,” kata Vinales sejurus tamat perlumbaan.
Marquez yang menyertai pasukan Gresini Ducati musim ini mula tampil cemerlang apabila menamatkan saingan tempat kedua sejurus memintas Jorge Martin (Pramac Ducati) pada pusingan terakhir.
Juara dunia MotoGP berturut-turut, Bagnaia terpaksa berpuas hati menamatkan perlumbaan di tempat kedua.
Biarpun gagal menaiki podium, pelumba Itali itu masih kekal ditangga teratas dengan mengumpul 37 mata dan Martin tangga kedua dengan mengumpul 35 mata. -KOSMO! ONLINE
https://www.kosmo.com.my/2024/03 ... sprint-di-portugal/ |
|