|
Ismail sedang memungut air tuak kelapa pandan di kebunnya, hari ini. FOTO BAHAROM BAKAR
Marang: Setiap kali Ramadan menjelma, air tuak atau nira kelapa pandan menjadi rebutan masyarakat tempatan di sini sebagai juadah berbuka puasa.
Ia sekali gus menjadikan Ismail Sulaiman, 64, daripada Kampung Batu Putih di sini, tidak menang tangan untuk memenuhi tempahan lebih 1,500 liter air tuak kelapa sepanjang Ramadan ini.
Katanya, dia menerima tempahan kira-kira 50 liter air tuak kelapa sehari setiap kali bulan puasa.
"Air tuak kelapa pandan menjadi pilihan utama masyarakat di sini kerana kemanisan semula jadi," katanya kepada Harian Metro.
Ismail yang mengusahakan air tuak kelapa pandan sejak 2010 menafikan minuman itu dicampur dengan bahan lain termasuk 'ibu gula'
"Tiada bahan manisan lain dicampur, sebaliknya hanya beberapa keping kayu cengal dimasukkan ke dalam botol ketika proses pengambilan air tuak daripada mayang kelapa pandan.
"Kepingan kayu cengal hanya digunakan bagi mengelak air tuak cepat masam dan rosak," katanya.
Ismail berkata, rutin harian sepanjang bulan puasa adalah memungut botol mengandungi air tuak dua kali sehari iaitu pada sebelah pagi dan petang.
"Kebiasaan, air tuak yang dipungut pada sebelah pagi dan petang akan diambil terus pelanggan tetap setiap hari.
"Proses pengambilan air tuak daripada pokok kelapa pandan setinggi antara dua dan lima meter dilakukan pada jam 7 pagi, manakala pada sebelah petang dilakukan kira-kira jam 6 petang," katanya.
Ismail berkata, air tuak yang dipungut akan melalui proses tapisan mengasingkan habuk mayang kelapa sebelum dijual kepada pelanggan.
"Saya juga mengusahakan 'nisan kerek' menggunakan air tuak, tetapi kami hentikan sementara bagi memenuhi tempahan pelanggan sepanjang bulan Ramadan.
"Alhamdulillah saya mendapat jualan air tuak kelapa pandan antara RM3,000 dan RM3,500 sepanjang Ramadan," katanya.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... utan-di-bulan-puasa |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|