SUNGAI PETANI: Seorang anggota polis cedera ringan di lutut selepas dirempuh sebuah motosikal ditunggang lelaki dipercayai penagih yang cuba melarikan diri dalam serbuan Ops Tapis Khas SeMalaysia di ladang kelapa sawit Sungai Division, di sini semalam.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Superintendan Anuar Abdul Rahman @Abdul Rahim, berkata dalam kejadian jam 10 pagi itu, anggota polis berpangkat konstabel berusia 20-an yang bertugas di Balai Polis Bedong itu dikatakan cuba menghalang suspek melarikan diri namun dirempuh menyebabkan mangsa mengalami luka.
Bagaimanapun, katanya anggota terbabit berjaya menangkap suspek berusia 30-an itu.
"Suspek ditahan kerana memiliki dadah jenis heroin dan ujian saringan air kencing turut mendapati lelaki itu positif dadah jenis heroin," katanya.
Anuar berkata, dalam operasi yang diadakan sejak tiga hari lalu, seramai 109 individu diperiksa dalam serbuan di tujuh lokasi di sekitar daerah Kuala Muda.
Beliau berkata, semua 'port' dadah berkenaan pernah diserbu sebelum ini namun tetap menjadi tumpuan penagih untuk melepaskan gian mereka.
"Daripada jumlah itu, 73 ditahan kerana disyaki penagih termasuk dua wanita dan kesemua mereka berusia antara 19 hingga 66 tahun.
"Antara lokasi serbuan adalah ladang kepala sawit Sungai Divison, Pasar Bisik Kota Kuala Muda, Taman Ria Jaya, Kampung Raja, Kampung Benggali Taman Sri Wang dan Bandar Baru, Sungai Lalang Bedong," katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda, di sini hari ini.
Menurut Anuar, operasi itu disertai 28 orang yang terdiri daripada pegawai dan anggota IPD Kuala Muda.
Beliau berkata, 71 daripada penagih yang ditahan disiasat mengikut Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 manakala dua lagi ditahan kerana dikehendaki polis.
"Jumlah dadah yang dirampas adalah heroin seberat 94.28 gram bernilai RM2,280 manakala syabu 25.44 gram bernilai RM5,088 dan ganja seberat 1001.10 gram bernilai RM1,001.
"Jumlah tangkapan yang mempunyai rekod jenayah adalah seramai 39 orang dan 16 orang tangkapan boleh diambil tindakan mengikut Seksyen 39C ADB 1952," katanya.