|
Penyerang Inter Miami, Lionel Messi (tengah) bersaing dengan pertahanan Real Salt Lake, Emeka Eneli ketika aksi MLS di Stadium Chase di Fort Lauderdale, Florida pagi tadi. – Foto AFP
LOS ANGELES: Lionel Messi mencipta satu gol dan terbabit dalam satu lagi apabila Inter Miami mengatasi Real Salt Lake 2-0 pada aksi pembukaan musim baharu Major League Soccer pagi tadi.
Miami mendominasi babak pertama di Fort Lauderdale dan memecah kebuntuan pada minit ke-39 apabila Messi mengelirukan benteng pertahanan sebelum mengumpan kepada Robert Taylor, yang melakukan rembatan leret melepasi jangkauan penjaga gol Zac MacMath.
Salt Lake tampil lebih bertenaga selepas rehat dan mula mengasak pasukan Miami yang menghabiskan pramusim bermain perlawanan persahabatan di Asia dan Timur Tengah.
Miami berjaya menangani asakan mereka dengan bantuan kecekapan penjaga gol Drake Callender dan memastikan kemenangan apabila Messi bergandingan dengan bekas rakan sepasukan Barcelona, Luis Suarez untuk mencipta gol buat Diego Gomez menjadikan kedudukan 2-0 pada minit ke-83.
Gol itu menyaksikan bunga api dibakar di stadium yang diberi nama baharu Stadium Chase ketika musim ke-29 MLS bermula dengan kemenangan buat pasukan Messi.
Pemilik bersama Inter Miami, David Beckham (kanan) memperkenalkan Luis Suarez sebelum perlawanan menentang Real Salt Lake di Stadium Chase, Fort Lauderdale, Florida pagi tadi. – Foto AFP
"Saya tahu saya akan berdepan saingan sengit (di MLS)," kata Suarez menerusi penterjemah selepas perlawanan sulungnya dalam liga.
"Inter Miami, antara pasukan yang menjadi pilihan merangkul kejuaraan, kami sedar kami akan bermain menentang lawan yang mahu menundukkan kami sepanjang masa."
Messi mencuri tumpuan apabila dia menyertai Miami pada pertengahan musim Julai lalu, mengemudi mereka memenangi kejuaraan Piala Liga-Liga, namun dia gagal mempamerkan magis untuk membantu kelabnya mengatasi keputusan buruk pada awal musim dan cuba melayakkan diri ke playoff.
Miami, yang dimiliki bersama bekas kapten England, David Beckham, mendapatkan khidmat penyerang Uruguay berusia 37 tahun Suarez, Sergio Busquets dan Jordi Alba untuk menjadi pilihan utama meraih kemenangan Piala MLS pertamanya.
Miami kini akan bertandang untuk berdepan bekas kelab Beckham, LA Galaxy Ahad ini di Carson, California. – REUTERS
https://www.bharian.com.my/sukan ... -aksi-pembukaan-mls |
|