|
Steve Bruce tidak bekerja sejak dipecat oleh West Brom pada Oktober 2022. – Foto REUTERS
LONDON: Steve Bruce dilaporkan berminat menggantikan Jurgen Klinsmann sebagai pengurus Korea Selatan.
Bruce, 63, tidak bekerja sejak dipecat oleh West Brom pada Oktober 2022 susulan tempoh mengecewakan di The Hawthorns, dengan The Baggies berada dalam zon penyingkiran Liga Kejuaraan ketika pemergiannya.
Bekas pemain pertahanan Manchester United itu sudah mengurus 12 kelab berbeza sejak karier kejurulatihannya bermula di Sheffield United pada 1998, dengan Bruce mengemudi kedua-dua Birmingham City dan Hull City layak beraksi di Liga Perdana Inggeris.
Klinsmann dipecat oleh Korea Selatan selepas gagal dalam kempen Piala Asia apabila mereka kecundang di tangan pasukan kerdil Jordan pada separuh akhir, manakala wujud laporan menyatakan ada pergaduhan dalam kem selain pengendali warga Jerman itu tidak popular dalam kalangan peminat pasukan kebangsaan.
Menurut The Mirror, Bruce yang berminat untuk berpindah ke luar negara bagi kerjaya berikutnya berada dalam senarai untuk menggantikan ikon Jerman itu.
Laporan itu turut menyebut jurulatih berusia 63 tahun itu kembali bersemangat selepas lebih setahun tidak bekerja dan Persatuan Bolasepak Korea (KFA) sudah berbincang mengenai beliau sebagai calon berpotensi.
Bagaimanapun, Bruce turut dikatakan menarik minat kelab di Arab Saudi dan sedang mempertimbangkan mengenai masa depannya. – AGENSI
https://www.bharian.com.my/sukan ... -klinsmann-di-korea |
|