BALIK PULAU: Pasukan bomba mengambil masa lebih satu jam pendakian dalam hujan lebat bagi menyelamatkan lelaki warga Perancis yang tersesat di kawasan hutan Taman Negara Teluk Bahang, di sini, awal pagi tadi.
Mangsa, Younes Oukali, 37, ditemui dalam keadaan keletihan selepas dikatakan lebih tujuh jam tersesat dalam hutan berkenaan.
Ketua Balai Bomba Teluk Bahang Faiz Helmi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 7.20 petang.
Katanya operasi menyelamat membabitkan seramai 17 anggota termasuk dua pegawai dan bantuan BBP Balik Pulau.
"Pasukan penyelamat melakukan pencarian berpandukan lokasi yang dikongsi mangsa menerusi aplikasi Whatsapp.
"Pencarian dilakukan dalam keadaan cuaca hujan lebat di kawasan berbukit," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Mengulas lanjut Faiz berkata, pihak Taman Negara Teluk Bahang turut bersiap sedia operasi menggunakan bot ke Teluk Kampi dalam penyelamatan itu.
Katanya, menerusi aplikasi berkenaan, pasukan penyelamat menasihati mangsa supaya tetap tinggal di lokasi yang diberi.
"Mangsa ditemui pada jam 1.22 pagi dengan jarak kira-kira tiga kilometer iaitu anggaran lebih satu jam tempoh pendakian, dalam keadaan selamat dan mendakwa keletihan.
"Mangsa kemudian diserah kepada polis bagi tindakan lanjut dan operasi tamat pada jam 4.58 pagi," katanya lagi.
Difahamkan, lelaki terbabit datang ke Pulau Pinang sejak seminggu lalu bagi tujuan melancong dan memasuki kawasan hutan berkenaan seorang diri petang semalam.