|
FODEN (depan) berada pada tahap terbaik dalam kariernya apabila berjaya menghasilkan lapan jaringan daripada 10 perlawanan terakhirnya.
MANCHESTER – Rekod kebal 14 perlawanan berturut-turut tanpa kalah sejak Disember lalu tidak memberikan sebarang jaminan buat Manchester City menjelang aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) menentang Chelsea di Stadium Etihad awal pagi esok.
Pengurus City, Pep Guardiola juga enggan mendabik dada walaupun anak-anak buahnya ketika ini berjaya merekodkan 11 kemenangan berturut-turut dalam semua kejohanan termasuk menjuarai Piala Kelab Dunia di Riyadh, Arab Saudi hujung tahun lalu.
Sebaliknya, Guardiola, 53, tetap berwaspada dengan kemampuan Chelsea memandangkan mereka akan turun tanpa empat tonggak disebabkan masalah kecederaan seperti Jack Grealish, Bernardo Silva, Josko Gvardiol dan Mateo Kovacic.
City juga perlu bertarung dengan faktor kepenatan kerana baru bermain aksi pertama pusingan 16 Liga Juara-Juara menentang Copenhagen di Stadium Parken pada Rabu lalu berbanding Chelsea mempunyai lebih waktu rehat.
“Saya tahu mengenai jadual yang agak padat ini, sebab itu saya ambil satu demi satu perlawanan dan sekarang lawan seterusnya ialah Chelsea.
“Saya menyaksikan perlawanan mereka menentang Aston Villa dan di hotel semalam (kelmarin) juga kami mengkaji permainan mereka bertemu Crystal Palace. Apa yang saya dapat katakan mereka bermain dengan personaliti yang besar,” katanya.
Atas kertas, kelebihan nyata lebih memihak The Citizens yang tidak kalah kepada Chelsea dalam tujuh pertemuan terakhir sejak tewas 0-1 pada final Liga Juara-Juara edisi 2020/2021.
Juara Eropah itu pastinya mengharapkan ketajaman penyerang, Erling Haaland dan penggerak permainan, Kevin De Bruyne selain peningkatan prestasi Phil Foden untuk merakam kemenangan ke atas The Blues.
Foden merasakan dirinya berada pada tahap terbaik dalam kariernya selepas berjaya menghasilkan lapan jaringan daripada 10 perlawanan terakhirnya.
“Saya boleh katakan ini persembahan paling konsisten saya selama menyarung jersi City. Saya berada pada tahap terbaik dan kalau boleh mahu terus menjaringkan gol dalam setiap perlawanan,” jelas Foden.
City yang menjuarai gelaran trebel musim lalu, kini menduduki tangga kedua EPL menerusi 52 mata sama dengan pasukan di tempat ketiga, Arsenal selain ketinggalan dua mata sahaja lagi di belakang pendahulu, Liverpool.
Disebabkan itu, City wajib menang ke atas Chelsea jika mahu memintas Liverpool memandangkan mereka mempunyai kelebihan satu perlawanan dalam tangan. – AGENSI
https://www.kosmo.com.my/2024/02 ... u-kemenangan-ke-12/ |
|