Georgetown: Seorang lelaki yang juga orang kena tahan (OKT) dilaporkan meninggal dunia di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Utara (SPU) di Kepala Batas, di sini semalam.
Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Mohamed Usof Jan Mohamad berkata, OKT berusia 46 tahun itu ditahan di bawah Seksyen 39 (a) (1) Akta Dadah Berbahaya 1952, pada 8 Februari lepas.
"Lelaki itu ditahan bersama tiga rakannya di Sungai Dua berkaitan kes dadah dan sedang direman hingga 16 Februari ini, namun pada Isnin lepas dia memaklumkan mengalami sakit di bahagian perut.
"Pihak polis membawa lelaki itu ke Hospital Kepala Batas (HKB) untuk rawatan dan selepas pemeriksaan serta diberi ubat, OKT tersebut dibenarkan balik semula ke lokap," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Beliau berkata kira-kira 4 petang semalam, pihak polis mendapati lelaki itu tidak sedarkan diri sebelum disahkan telah meninggal dunia oleh pasukan perubatan yang membuat pemeriksaan lanjut dan mayatnya dihantar ke HKB untuk bedah siasat.
Menurutnya laporan bedah siasat mendapati lelaki itu meninggal dunia disebabkan ulser dalam perut pecah dan pemeriksaan juga mendapati kematian OKT itu tiada kesan unsur jenayah.