|
SAINZ (kanan) akan bersama Ferrari pada musim terakhir tahun ini. FOTO AFP
Milan: Carlos Sainz mengakui terkejut apabila mengetahui bahawa Lewis Hamilton akan mengambil tempatnya pada 2025, tetapi pemandu Sepanyol itu berkata dia menyedari langkah itu menjelang pengumuman Ferrari pada 1 Februari lalu.
"Semua orang terkejut dengan apa yang berlaku dan di pihak saya, saya mendapat tahu berita itu lebih awal daripada orang lain," kata Sainz kepada pemberita pada majlis pelancaran kereta SF-24 Ferrari, semalam.
"Saya memerlukan beberapa minggu untuk bertenang, membuat persediaan dan juga bersedia untuk pelancaran kereta dan perlumbaan pertama musim ini.
"Jadi ia memberi anda sedikit masa untuk menghadamnya, membuat kesimpulan sendiri dan memberi tumpuan kepada musim 2024.
"Tetapi hakikatnya ia mengejutkan seluruh dunia F1, begitu juga diri saya," katanya lagi.
Hamilton, juara dunia tujuh kali, akan menyertai Charles Leclerc bersama Ferrari tahun depan.
Leclerc, yang menandatangani lanjutan kontrak lima tahun pada bulan lalu berkata, mereka sudah saling berhubung antara satu sama lain.
"Kami sudah mengadakan perbincangan dengan Lewis, terutamanya apabila semuanya diumum secara rasmi," kata Leclerc.
"Dia adalah juara yang hebat dengan begitu banyak kejayaan.
"Ia pastinya menarik untuk mempunyai rakan sepasukan baharu sambil anda mempelajari cara bekerja dan pemanduan yang berbeza, lebih-lebih lagi apabila rakan sepasukan baharu saya ialah juara dunia tujuh kali," katanya lagi.
https://www.hmetro.com.my/arena/ ... on-rampas-tempatnya |
|