|
FERNANDEZ (tengah) berjaya meledak gol ketiga Chelsea menewaskan Palace 3-1 di Selhurst Park awal pagi semalam. - CHELSEA FC
LONDON – Pemain tengah Chelsea, Conor Gallagher dianggap sebagai wira apabila meledak dua gol membantu pasukan itu mencatat kemenangan 3-1 ke atas Crystal Palace dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Selhurst Park awal pagi semalam.
Selain dua gol Gallagher, Enzo Fernandez turut mencetak nama selaku penjaring bagi memadam gol awal Palace menerusi Jefferson Lerma, sekali gus memastikan The Blues membawa pulang tiga mata.
Selepas menampilkan aksi cukup mengecewakan di separuh masa pertama, Gallagher mengakui pengurus, Mauricio Pochettino melakukan beberapa perubahan terhadap taktikal sehingga membolehkan mereka menjaringkan tiga gol di separuh masa kedua.
“Satu kemenangan yang cukup sukar kerana kami memang tidak beraksi bagus di separuh masa pertama. Beliau (Pochettino) memberi kata-kata semangat supaya kami tidak mudah mengalah dan cuba menggerakkan bola lebih pantas.
“Kami bermain sebagai satu pasukan dan jaringan awal di separuh masa kedua membantu kami untuk menjaringkan dua lagi gol pada penghujung permainan. Kami sangat gembira dengan tiga mata ini,” katanya.
Gallagher juga menjelaskan, Pochettino memberi kebenaran kepada bek kanan, Malo Gusto membantu jentera serangan dan membuahkan hasil menerusi bantuan gol yang dilakukannya.
“Gusto dan (Ben) Chilwell naik sedikit ke bahagian atas selain Enzo di posisi No.10 sangat membantu pasukan ketika menyerang,” ujar Gallagher. – AGENSI
https://www.kosmo.com.my/2024/02 ... kemenangan-chelsea/ |
|