|
ASENSIO menyertai PSG secara percuma dari Real Madrid musim panas lalu. -FOTO AFP
Poissy, Perancis: Marco Asensio percaya "banyak yang boleh ditawarkannya" kepada Paris Saint-Germain (PSG) dalam usaha mereka untuk memburu gelaran sulung Liga Juara-Juara, selepas dia menjulang trofi itu tiga kali bersama Real Madrid.
Pemain berusia 28 tahun itu menyertai PSG secara percuma dari Madrid pada musim panas lalu tetapi terpaksa berehat lebih dua bulan kerana kecederaan kaki.
Dia menjadi tonggak utama sejak cuti musim sejuk, memulakan tiga perlawanan terakhir Ligue 1 dan menjaringkan dua gol.
PSG akan melayan kunjungan Real Sociedad dalam perlawanan pertama peringkat 16 terakhir Liga Juara-Juara awal pagi esok, berharap dapat mengelak penyingkiran ketiga berturut-turut daripada pertandingan itu pada pusingan kalah mati pertama.
Asensio tahu apa yang diperlukan untuk mengharungi segala-galanya, selepas memenangi kejuaraan pada 2017, 2018 dan 2022 bersama Real dan menjaringkan gol pada perlawanan akhir tujuh tahun lalu ketika menentang Juventus.
"Bola sepak saya, pengalaman saya dan kepimpinan saya," katanya apabila ditanya apa yang dia bawa kepada pasukan PSG yang dalam pembentukan semula selepas pemergian Lionel Messi dan Neymar.
"Saya sudah lama berada dalam dunia bola sepak, saya mendapat kejayaan dan saya percaya banyak yang saya boleh tawarkan.
"Saya boleh menjadi contoh dan sumber inspirasi untuk pemain muda kelab."
PSG masih menunggu untuk menjulang Piala Eropah buat kali pertama, walaupun layak ke fasa kalah mati dalam 12 musim berturut-turut di bawah pemilik Qatar mereka.
Biarpun pernah diwakili oleh tiga penyerang Messi, Neymar dan Kylian Mbappe mereka masih gagal berbuat demikian.
Asensio adalah salah seorang daripada 13 pemain baharu bersama-sama dengan rakan penyerang Goncalo Ramos, Randal Kolo Muani, Ousmane Dembele dan Lee Kang-in menyertai PSG.
https://www.hmetro.com.my/arena/ ... g-piala-juara-juara |
|