|
Pertahanan Manchester United, Lisandro Martinez bersama pengurus Erik ten Hag selepas mengalami kecederaan ketika menentang West Ham pada aksi Liga Perdana Inggeris di Old Trafford, Manchester awal pagi semalam. – Foto REUTERS
MANCHESTER, England: Harapan Manchester United untuk layak ke Liga Juara-Juara musim depan terjejas sedikit dengan berita pemain pertahanan Lisandro Martinez terpaksa diketepikan sekurang-kurangnya lapan minggu kerana kecederaan ligamen lutut.
Pemenang Piala Dunia dari Argentina itu hanya baru-baru ini kembali daripada kecederaan kaki yang menyebabkannya berehat hampir keseluruhan musim lalu.
Bagaimanapun, kehadiran Martinez dirasai ketika nasib United berubah dalam beberapa minggu kebelakangan.
Pemain berusia 26 tahun itu terpaksa dikeluarkan ketika menang 3-0 ke atas West Ham awal pagi semalam selepas diterjah di lutut kanannya oleh Vladimir Coufal ketika kedua-duanya bersaing merebut bola.
"Lisandro Martinez mengalami kecederaan di ligamen lututnya dan dijangka tidak boleh beraksi sekurang-kurangnya lapan minggu," menurut United dalam satu kenyataan.
Pertahanan Manchester United, Lisandro Martinez (kanan) bersaing dengan pertahanan West Ham, Emerson pada aksi Liga Perdana Inggeris di Old Trafford, Manchester awal pagi semalam. – Foto AFP
"Kami mendoakan Licha cepat sembuh dan tidak sabar untuk menyaksikannya kembali ke padang hujung musim ini."
Martinez kini dijangka terlepas hampir keseluruhan baki kempen, sekalipun dia berpotensi kembali bagi tujuh perlawanan terakhir Liga Perdana Inggeris (EPL) dan peringkat terakhir Piala FA.
"Dia terlalu sedih, terlalu kecewa," kata bos United, Erik ten Hag selepas perlawanan dengan West Ham.
"Kami amat memahami apa yang dirasanya. Pertama sekali, ia satu bencana secara peribadi apabila ia terlalu teruk, tetapi tunggu sajalah. Bagi pasukan ia tetap menjejaskan kami kerana dia memang membawa sesuatu ke dalam pasukan."
United menghuni tangga keenam EPL, enam mata di belakang Tottenham dan lapan mata di belakang pasukan tangga keempat Aston Villa, yang akan ditemui mereka Ahad ini. – AFP
https://www.bharian.com.my/sukan ... -rehat-lapan-minggu |
|