GEORGETOWN: Sahabat Alam Malaysia (SAM) menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan segera memulihkan cerun berisiko serta memastikan tindakan pencegahan bersesuaian untuk mengelak kejadian tanah runtuh berulang.
Gesaan itu disuarakan SAM susulan kejadian tanah runtuh terkini di Cameron Highlands awal pagi tadi, yang meragut satu nyawa dengan empat lagi masih hilang.
Presidennya, Meenakshi Raman berkata, walaupun punca kejadian belum dapat ditentukan, SAM bimbang penerokaan bukit bagi semua jenis projek termasuk pembangunan pertanian dan pembinaan di Cameron Highlands terdedah kepada tanah runtuh terutamanya semasa hujan lebat.
Pemerhatian SAM ketika berkunjung ke Cameron Highlands awal bulan ini amat mengejutkan apabila terlalu banyak pembangunan dengan pembersihan bukit dilihat bagi tujuan pertanian dan pembinaan besar-besaran termasuk di kawasan Blue Valley.
"Pesona lama Cameron Highlands sudah hilang dengan hutan subur digantikan dengan pembersihan bukit serta landskap 'berparut' bagi tanaman pertanian, perumahan dan projek pembinaan bangunan.
"Pada Januari tahun lalu, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan supaya semua projek di kawasan bukit dan tanah tinggi di Cameron Highlands disemak semula, berikutan hujan lebat yang berkemungkinan mendatangkan bencana.
"Al-Sultan Abdullah menyuarakan kebimbangan tentang pembersihan tanah bukit secara meluas bagi pertanian dan projek lain, serta menggesa kajian semula semua kelulusan namun jelas arahan daripada pihak berkuasa tertinggi negara ini tidak diendahkan," katanya menerusi kenyataan di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Meenakshi berkata, SAM menyuarakan kebimbangan diutarakan Al-Sultan Abdullah dan menyeru pihak berkuasa menghentikan sebarang kelulusan untuk semua jenis projek.
Selain itu, katanya semakan menyeluruh perlu dilakukan terhadap kelulusan yang diberikan pada masa lalu.
Katanya, kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu menarik semula kebenaran terlalu banyak pembangunan di kawasan sangat sensitif terhadap alam sekitar, terutama apabila kesan perubahan iklim lebih ketara kini dengan intensiti hujan yang belum pernah berlaku sebelum ini.
"SAM menyeru pasukan petugas ditubuhkan bagi menjalankan semakan dan mendedahkan penemuan kepada umum.
"Kini hanya keluhan pelawat kedengaran mengenai pemandangan buruk serta Cameron Highlands yang sudah tidak begitu sejuk dengan kehilangan kehijauan semula jadi," katanya lagi.