|
LORI yang digunakan untuk kegiatan mencuri kabel telekomunikasi ditahan polis. FOTO Ihsan Polis
Dungun: Polis terpaksa mengejar sebuah lori sejauh kira-kira 100 kilometer sebelum kenderaan berat itu berjaya ditahan di Jambatan Sungai Dungun, dekat Pulau Serai, di sini pagi tadi.
Difahamkan, kenderaan terbabit dikejar polis selepas dipercayai terbabit dengan kegiatan mencuri kabel telekomunikasi di daerah ini.
Ketua Polis Daerah Dungun Superintendan Maizura Abdul Kadir berkata, penahanan kenderaan itu membolehkan seorang lelaki ditahan, manakala dua lagi rakan suspek termasuk pemandu lori melarikan diri.
"Anggota Unit Peronda Polis terserempak dengan lori itu dalam keadaan mencurigakan di Kampung Santong Paka dan ketika diarah berhenti untuk pemeriksaan, lori dinaiki ketiga-tiga suspek dikatakan bertindak melarikan diri," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Beliau berkat, kenderaan berat dinaiki suspek itu memasuki Lebuh Raya Pantai Timur Dua (LPT2) melalui Plaza Tol Paka dan merempuh palang penghadang tol di situ sebelum memecut ke arah Kuala Terengganu.
Bagaimanapun katanya, lori terbabit keluar melalui plaza Tol Ajil Hulu Terengganu dan berpatah semula ke Kuantan dengan menggunakan jalan Jerangau-Jabur.
"Lori terbabit merempuh sekatan jalan raya yang dilakukan polis di Jerangau sebelum menuju ke Bandar Dungun.
"Bagaimanapun anggota kami berjaya menahan lori terbabit kira-kira 6.55 pagi sebelum memberkas seorang daripada suspek, manakala dua lagi rakan suspek melarikan diri. Polis sedang giat mengesan kedua-dua suspek terbabit," katanya.
Menurutnya, hasil pemeriksaan, polis menemukan kabel telekomunikasi milik Telekom Malaysia sepanjang 44.2 meter dan polis percaya kabel itu dicuri suspek.
"Suspek yang ditahan mempunyai sembilan rekod lampau berkaitan dadah. Suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dungun untuk siasatan lanjut," katanya.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... -polis-sejauh-100km |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|