PADANG BESAR: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Perlis mematahkan cubaan menyeludup dadah jenis ganja yang dibungkus menyerupai belacan seberat 3.68 kilogram (kg) bernilai RM11,408 ke negara ini, selepas menahan seorang lelaki di Wang Kelian, di sini, minggu lalu.
Bungkusan ketulan mampat ganja terbabit ditemui disembunyikan di dalam sebuah bagasi dibawa lelaki berusia 24 tahun itu yang bekerja sebagai pengurus acara merangkap pemandu pelancong sambilan.
Pengarah Kastam Perlis, Ismail Hashim, berkata kejadian berlaku jam 9.35 pagi 21 Disember lalu di Pos Imigresen, Kastam dan Kuarantin (ICQ) Wang Kelian, Kaki Bukit, apabila anggota bertugas melihat suspek melalui kawasan pejalan kaki untuk memasuki Malaysia dalam keadaan mencurigakan.
"Anggota kastam ternampak lelaki warga tempatan itu yang baru tiba dari arah Thailand dengan membawa sebuah bagasi beroda berwarna hitam, sebelum menahannya untuk pemeriksaan.
"Hasil pemeriksaan ke atas lelaki dan bagasi itu mendapati ada beberapa beg plastik lutsinar serta plastik hitam yang mengandungi ketulan mampat dadah disyaki ganja atau kanabis seberat 3.68kg.
"Yang mengejutkan, bekalan ganja itu dibentuk serta dibungkus seperti belacan dan disembunyikan bawah timbunan pakaian suspek di dalam bagasi itu," katanya pada sidang media di Cawangan Penguatkuasaan, Pejabat Kastam Padang Besar, di sini, hari ini.
Beliau berkata, suspek dipercayai memperoleh bekalan dadah itu dari Hatyai, Thailand, dan melakukan perjalanan lebih dua jam untuk tiba di sempadan Malaysia-Thailand di Wang Kelian.
"Hasil siasatan awal mendapati suspek tidak menggunakan laluan di ICQ Padang Besar atau ICQ Bukit Kayu Hitam untuk memasuki negara ini meskipun jaraknya agak dekat dengan Hatyai.
"Sebaliknya, suspek memilih untuk mengharungi perjalanan lebih dua jam ke Wang Kelian dipercayai kerana Pos ICQ Wang Kelian tiada mesin pengimbas elektronik, sebaliknya hanya menggunakan pemerhatian dan pemantauan secara manual oleh pihak berkuasa, berbanding ICQ Padang Besar dan Bukit Kayu Hitam," katanya.
Ismail berkata, suspek juga dipercayai dibayar RM5,000 oleh sindiket untuk melakukan menyeludup masuk dadah berkenaan.
Selain itu, beliau berkata, suspek dipercayai mahir dengan selok-belok keadaan di sekitar kawasan ICQ berkenaan berikutan pekerjaannya sebagai pemandu pelancong sambilan yang kerap membawa pelancong pergi dan pulang negara jiran.
"Susulan itu, suspek direman selama tujuh hari hingga hari ini dan disambung reman hingga Isnin depan untuk membantu siasatan," katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup dan sebat tidak kurang 12 sebatan.