Pasir Mas: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menyalurkan sumbangan bernilai RM146,000 kepada 200 mangsa di Rantau Panjang serta sembilan sekolah pondok dan tahfiz di seluruh Kelantan yang terjejas banjir.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jakim Ruslan Said berkata sumbangan itu melibatkan wang tunai, barangan keperluan, peralatan kebersihan dan kelengkapan solat.
"Sembilan pondok yang terjejas banjir itu menerima wang tunai mengikut keperluan.
"Kita mengharapkan sumbangan ini dapat meringankan beban mangsa dan berharap mangsa banjir terus berhati-hati dan berjaga-jaga berkemungkinan berlaku banjir gelombang ketiga," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Program Misi Bantuan Banjir Agensi Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) di Masjid Jubli Perak Sultan Ismail Petra, Rantau Panjang, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Ruslan berkata, pihaknya akan menyampaikan sumbangan secara berperingkat mengikut keadaan sekiranya berlaku musibah.
"Ia menjadi tanggungjawab Jakim yang bergerak di bawah Menteri Hal Ehwal Agama bagi menyampaikan sumbangan kepada mangsa-mangsa yang terkesan musibah di seluruh negara," katanya.
Ruslan berkata Jakim akan meneruskan misi menyampaikan bantuan kepada mangsa banjir yang telah dikenal pasti di Terengganu, esok.