PASIR PUTEH: Kerajaan Pusat memperuntukkan RM250,000 bagi bantuan makanan kepada nelayan terutama nelayan zon A sepanjang Monsun Timur Laut (MTL).
Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Muhammad Faiz Fadzil, berkata bantuan itu membabitkan 9,000 nelayan sekitar Kelantan, Pahang dan Terengganu yang terjejas dan tidak dapat turun menangkap ikan.
"Bantuan ini diberikan dari semasa ke semasa khususnya nelayan yang tidak dapat ke laut.
"Sebab itu, kita juga dalam usaha mentransformasikan minda nelayan daripada menggunakan bot A kepada bot C, C2, yang mana mereka ada kapasiti untuk tingkat kemampuan daripada segi saiz bot dan kemampuan turun ke laut walaupun di musim Monsun Timur Laut," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam Program Rahmah Mesra MADANI Libat Urus Pengerusi LKIM Bersama Nelayan Negeri Kelantan di Dewan Persatuan Nelayan Semerak di sini, hari ini.
Hadir sama, Ketua UMNO Bahagian Pasir Puteh, Datuk Zawawi Othman dan Pengarah LKIM Negeri Kelantan, Khuzaimah Husain.
Katanya, nelayan juga dibantu menerusi elauan sara hidup RM300, modal bantuan Agrobank dan pusat latihan perikanan di Chendering, Terengganu bagi mempelajari pengurusan bot dan vessel lebih besar seperti bot jenis C dan C2.
Katanya, nelayan perlu mempunyai iltizam dan mengubah minda untuk menjana pendapatan lebih baik.
"Kerajaan paling banyak bagi bantuan kepada nelayan kerana perjuangan mereka memastikan bekalan makanan negara ada, sumber perikanan penting.
"Sejak 2013, LKIM membelanjakan lebih RM211 juta untuk membaikpulih 20,086 rumah nelayan dan membina baru 257 rumah nelayan dengan peruntukkan lebih RM16 juta," katanya.
Dalam perkembangan lain, Muhammad Faiz turut memberi amaran kepada pihak tengah untuk tidak mengambil kesempatan menaikkan harga ikan ketika tempoh MTL.
Katanya, musim tengkujuh ketika ini hanya melanda pantai timur dan negeri lain seperti Perak dan Sabah masih membekalkan rekod pendaratan ikan yang banyak.
"Pihak yang terbabit dalam rantaian bekalan (supply chain) perlu ada pertimbangan, ikan sepatutnya cukup," katanya.