LANGKAWI: Penggiat industri pelancongan di pulau ini menyambut baik pelantikan Datuk Haslina Abdul Hamid sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) yang baharu.
Pelantikan itu yang berkuatkuasa Jumaat lalu, melakar sejarah apabila Haslina menjadi wanita pertama dilantik sebagai peneraju agensi berkenaan sejak ditubuhkan pada 15 Mac 1990.
Pengerusi Kelab Komuniti Pelancongan Langkawi (KKPL), Hazani Hussin berkata kehadiran bekas Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) itu diharap dapat membantu melonjakkan kembali industri pelancongan pulau ini.
"Pengalaman beliau ketika menjawat jawatan Timbalan Ketua Setiausaha (Pelancongan), Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan (MOTAC) juga mampu melonjak semula industri pelancongan yang terjejas lebih tiga tahun.
"Kami berharap beliau meneruskan agenda promosi, pembangunan produk dan menyantuni penggiat industri bagi memastikan sasaran kemasukan tiga juta pelancong ke pulau ini pada 2024 tercapai," katanya di sini.
Ketua Pegawai Eksekutif Tropical Charters Sdn Bhd, Datuk Alexander Isaac, berkata pihaknya teruja dengan pelantikan Haslina yang disifatkan 'wajah baharu' dalam kepimpinan agensi di bawah Kementerian kewangan itu.
"Kami teruja untuk bekerja bersama beliau dalam memajukan industri pelancongan tempatan yang mana semua orang tahu 90 peratus ekonomi penduduk Langkawi bergantung kepada sektor pelancongan.
"Pemilihan beliau sebagai CEO LADA yang baharu adalah tepat dan diyakini turut berupaya membantu menjayakan Tahun Melawat Kedah 2025 dan Tahun Melawat Malaysia 2026," katanya juga pengusaha kapal persiaran.
Pegawai Eksekutif Telaga Group, Muhammad Alif Aiman Azman, turut mengalu-alukan pelantikan Haslina kerana memiliki kepakaran bidang pelancongan dalam negara dan antarabangsa.
"Pelantikan ini memang dinantikan rata-rata penggiat industri dan kami berharap prestasi beliau di LADA adalah sebaik rekod kerjayanya yang cemerlang seperti sebelum ini ketika di MAFI dan MOTAC," katanya.
Presiden Pertubuhan Industri Pelancongan Langkawi, Ahmad Pishol Ishak berkata pelantikan Haslina bakal menyaksikan kebangkitan semula industri pelancongan di pulau ini yang suram susulan pandemik COVID-19.
"Penggiat industri termasuk syarikat pelancongan, sektor perhotelan, produk pelancongan dan perkhidmatan kereta sewa bersedia memberi kerjasama penuh kepada beliau demi kelangsungan pelancongan Langkawi," katanya.