TEMERLOH - Seorang suri rumah di sini menawarkan makanan tradisi Kelantan terutamanya pada musim tengkujuh iaitu ubi kayu parut atau lebih dikenali ubi tonyoh.
Suriani Jusoh, 39, memberitahu, ubi kayu jenis isi kuning diparut sebelum dikukus hampir satu jam dan dinikmati bersama taburan gula pasir serta kelapa muda parut.
"Saya buat pun suka-suka sahaja, isi masa lapang selain dibantu anak perempuan yang kebetulan cuti sekolah di rumah.
"Tak sangka pula dapat sambutan sejak buat beberapa hari lalu dan sekurang-kurangnya dapat juga cari duit sampingan," kata ibu kepada tiga cahaya mata itu.
Suriani memarut terlebih dahulu ubi sebelum direbus hampir satu jam.
Jelasnya, ubi tonyoh sangat enak dimakan terutama ketika masih panas.
Tambah Suriani, ubi kuning lebih sesuai digunakan kerana ia lebih sedap dan kenyal selain kurang air dan selaput berbanding ubi-ubi jenis lain.
"Tapi yang jadi kekangan bekalan ubi,sukar nak cari menyebabkan saya tidak dapat menghasilkannya setiap hari walaupun ada permintaan.
"Buat masa ini, saya hanya maklumkan dan dapat tempahan daripada kawan-kawan menerusi WhatsApp," ujarnya menjual dengan harga RM5 satu bekas.