Kota Bharu: Satu pusat pemindahan sementara (PPS) di jajahan Pasir Mas ditutup hari ini, menjadikan jumlah mangsa banjir di Kelantan berkurangan kepada 5,164 orang malam ini.
Kesemua mereka membabitkan 1,621 keluarga itu masih berlindung di 15 PPS di jajahan itu.
Portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mencatatkan, mangsa banjir paling ramai berlindung di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Rantau Panjang 2 seramai 1,192 daripada 409 keluarga.
Selain itu, mereka juga berada di PPS termasuk di SK Gual To' Deh seramai 901 orang membabitkan 288 keluarga, SK Gual Periok (511 mangsa, 121 keluarga), Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Baroh Pial (477 orang, 189 keluarga) dan SK Gual Tinggi (348 orang, 94 keluarga).
Sementara itu, laman web publicinfobanjir.water.gov.my melaporkan paras air Sungai Golok di Rantau Panjang menunjukkan trend menurun, namun masih melepasi paras bahaya dengan bacaan 9.83 meter (m), manakala Sungai Golok di Kuala Jambu, Tumpat melepasi paras waspada iaitu 2.31 m.