Titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar bakal memikul tugas Yang di-Pertuan Agong Ke-17 supaya amalan rasuah dihentikan atau berdepan risiko 'diburu' boleh diibaratkan 'polong kena sembur atau jampi', sekali gus menjadikan pemberi, penerima imbuhan tumbuk rusuk dan sesiapa sahaja bersekongkol berada dalam ketakutan seperti 'kucing dibawakan lidi' atau 'kambing dalam biduk'.
Sememangnya institusi Seri Paduka sentiasa memayungi usaha Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membasmi jenayah itu, apatah lagi pelantikan Ketua Pesuruhjaya dan Ahli Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah perlu mendapat perkenan dan dilantik baginda, tetapi amaran keras itu memberikan isyarat agensi penguatkuasaan berkenaan mendapat sokongan paling kuat untuk melaksanakan tanggungjawab itu.
Pada masa sama, Sultan Ibrahim turut menekankan kepentingan kerajaan dipastikan stabil dan konsisten dengan dasar mampan diperlukan untuk memperbaiki ekonomi negara, sekali gus mengingatkan punca utama ketidakstabilan politik negara dicetuskan 'perenggus' atau golongan tertentu yang kalah pilihan raya. Sekiranya, kita selidik berdasarkan pengalaman negara melalui kemelut politik, kedua-dua cabaran dititahkan baginda mempunyai kaitan, termasuk kewujudan pihak tertentu menyumbang ratusan juta sebelum instrumen demokrasi itu dilaksanakan.
Kita melihat isu sumbangan pilihan raya ini boleh dijadikan lebih telus dengan menyegerakan pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Pendanaan Politik di Parlimen, sekali gus memastikan perjalanan sistem demokrasi tidak bolos dengan cubaan pihak tertentu untuk 'melobi' kerajaan hingga membuka ruang salah guna kuasa, kronisme dan nepotisme. Hakikatnya, parti pemerintah dan pembangkang sudah mencapai kata sepakat secara dasarnya mengenai keperluan undang-undang sebegini yang banyak membantu negara maju mengekalkan integriti dalam pentadbiran, tinggal lagi untuk merealisasikannya.
Pada masa sama, kita mengakui cadangan baginda meletakkan agensi seperti SPRM di bawah institusi Yang di-Pertuan Agong mungkin boleh dianggap 'radikal' dalam konteks negara mengamalkan sistem demokrasi berparlimen di bawah pentadbiran Raja berperlembagaan, tetapi tidak ada salahnya mekanisme sedia ada diperkemaskan lagi seperti senarai calon mengetuainya diberikan memungkinkan Majlis Raja-Raja dapat meneliti dan memilih 'intan' terbaik daripada sekalian permata. Ini kerana pada akhirnya, kita yakin Raja-Raja dan rakyat berada pada titik sama bahawa tatakelola dan tadbir urus negara perlu bersih serta telus, manakala segala cubaan salah guna kuasa serta rasuah ditentang habis-habisan melalui mekanisme terbaik.
Apapun, kita percaya titah Sultan Ibrahim mewakili semangat Majlis Raja-Raja itu boleh dijadikan rangsangan kepada Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang baru melepasi usia setahun untuk memberikan tumpuan kepada reformasi institusi seperti SPRM, polis dan kehakiman sebagai mekanisme terpenting untuk memastikan usaha merancakkan pemulihan ekonomi pascapandemik betul-betul memberi limpahan kepada rakyat terbanyak, sekali gus tidak lagi 'bocor' kepada kelompok kecil yang tamak haloba.
|